utama

Kalau belum ajal...

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

DUA wanita terselamat walaupun kereta dinaiki terperosok bawah treler dalam kejadian di Kilometer 200.4 Lebuhraya PLUS arah selatan berhampiran Bukit Merah, 3.30 petang hari ini.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kamunting, Zainal Kipli Taib berkata, pihaknya bergegas ke lokasi sebaik menerima maklumat mengenai kejadian.

Menurutnya, setiba di lokasi pihaknya mendapati sebuah Toyota Vios terperosok di bawah treler membawa lori muatan sawit.

"Berdasarkan keterangan pemandu lori, kenderaan dipandunya mengalami kebocoran tayar sebelum hilang kawalan dan terbabas ke kanan jalan sehingga merempuh kereta dinaiki dua wanita berusia lingkungan 20 dan 30 tahun itu.

"Kedua-dua wanita berkenaan bagaimanapun berjaya keluar dari kereta dengan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, bomba kemudian menjalankan kerja mengeluarkan kereta ke kawasan selamat bagi membolehkan lalu lintas kembali lancar.

Susulan kemalangan itu lorong kanan laluan terbabit terhalang dan menyebabkan trafik sesak sejauh kira-kira tujuh kilometer.

Insiden selesai dan kedua-dua kenderaan yang terbabit kemalangan itu dapat dialihkan daripada menghalang lalu lintas jam 5.40 petang hari ini.

Disiarkan pada: June 12, 2017 @ 8:44pm
d