utama

Permit pengendali treler nahas 8 maut digantung

Oleh Nurul Huda Kosnon

SURUHANJAYA Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menggantung permit pengendali treler yang terbabit dalam kemalangan maut mengorbankan lapan nyawa di Kilometer 25 Jalan Bahau-Keratong, Jempol pada Ahad lalu.

SPAD dalam satu kenyataan hari ini berkata, semua permit kenderaan di bawah kendalian Golden Horse Plantations Sdn.Bhd tidak dibenarkan beroperasi sementara waktu bagi membolehkan siasatan audit pematuhan dijalankan berdasarkan Kod Amalan Keselamatan Industri (SPAD ICOP).

"Keselamatan pengguna jalan raya adalah keutamaan di bawah syarat Lesen Pengendali SPAD. Semua pengusaha pengangkutan awam darat dikehendaki mendukung standard tertinggi dalam mengendalikan kenderaan mereka," katanya.

Katanya, SPAD akan turut membantu siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kes berkenaan apabila diperlukan.

Dalam kemalangan kira-kira 2.20 petang itu, lapan maut termasuk enam rentung dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 25 Jalan Bahau-Keratong, Jempol.

Kemalangan membabitkan sebuah treler, sebuah Perodua Myvi, sebuah kenderaan pelbagai guna Proton Exora dan sebuah Toyota Vios.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila treler yang datang dari arah Keratong menghala ke Bahau cuba memotong sebuah motorsikal tetapi tidak lepas lalu membrek trelernya.

Treler itu kemudiannya memasuki laluan bertentangan di sebelah kanan dan dalam masa sama sebuah Myvi yang datang dari arah bertentangan itu cuba mengelak treler berkenaan menyebabkannya memasuki ke kiri jalan dan bertembung dengan sebuah Vios dari arah Keratong ke Bahau.

Berdasarkan kenyataan itu, SPAD turut memberi amaran kepada pengendali treler lain berhubung undang-undang yang akan diambil jika mereka didapati melanggar peraturan keselamatan.

"Suruhanjaya tidak akan teragak-agak membatalkan lesen dan permit pengendali yang didapati melanggar syarat keselamatan yang wajib dipatuhi di bawah syarat lesen pengendali.

“Suruhanjaya turut menzahirkan rasa simpati dan takziah kepada keluarga nahas yang terbabit dalam kemalangan itu," kata kenyataan itu.

Disiarkan pada: June 13, 2017 @ 10:55pm
d