utama

Tak mengaku dera budak [METROTV]

Oleh Sarah Zulkifli

WANITA warga emas yang dirakam menampar dan memukul seorang kanak-kanak perempuan lebih 30 kali menggunakan rotan hingga tular video kejadian itu didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, hari ini.

Tertuduh, V Tanawali, 62, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Mohammed Mokhzani Mokhtar.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga penjaga mangsa didakwa mendera kanak-kanak perempuan berusia enam tahun dengan memukulnya menggunakan rotan pada bahagian muka, badan, kedua-dua kaki dan tangan di rumah di Taman Puchong Perdana pada 11 pagi, September 2016.

Dakwaan kes dikemukakan mengikut Seksyen 31 (1)(b) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun, jika disabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 Julai depan untuk sebutan semula kes.

Pada awal Jun lalu, video berdurasi dua minit 50 saat itu yang dirakam rakan baik tertuduh dimuat naik sebelum menjadi tular di FB dan difahamkan, wanita itu menjaga kanak-kanak berkenaan sejak ibunya meninggal dunia.

Disiarkan pada: June 14, 2017 @ 12:16pm
d