utama

Didakwa ubah wang haram RM35.7j pula [METROTV]

Oleh Mary Victoria Dass

BEKAS Exco Kerajaan Negeri Johor, Datuk Abd Latif Bandi @ Nor Sebandi bersama anak lelakinya dan perunding hartanah menghadapi 21 pertuduhan membabitkan aktiviti pengubahan wang haram bernilai RM35.7 juta di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001.

Abd Latif, 51, menghadapi 13 pertuduhan membabitkan RM17.59 juta, manakala anaknya Ahmad Fauzan Hatim, 25, didakwa atas empat pertuduhan membabitkan nilai RM735,000.

Perunding hartanah, Amir Shariffuddin Abd Raub, 44, turut berdepan dengan empat pertuduhan membabitkan RM17.45 juta.

Kesemua mereka mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan berkenaan yang didakwa dilakukan antara 2013 hingga 2016 selepas ia dibacakan di hadapan Hakim Mohd Fauzi Mohd Nasir.

Abd Latif dan anaknya, diwakili barisan lima peguam diketuai Datuk Hasnal Rezua Merican manakala Amir Shariffuddin oleh Azrul Zulkifli Strok.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwaraya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Mohd Asnawi Abu Hanifah.

Hakim menetapkan jaminan RM500,000 terhadap Abd Latif, jaminan RM200,000 terhadap Ahmad Fauzan Yatim manakala jaminan RM400,000 terhadap Amir Shariffuddin dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 5 Julai sebagai sebutan semula kes dan ia berjalan serentak dengan sebutan kes rasuah bagi pertuduhan dihadapi Abd Latif sebelum ini.

Pada 19 April lalu, Abd Latif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau, bersama seorang perunding hartanah mengaku tidak bersalah terhadap 33 pertuduhan berasingan membabitkan nilai suapan RM30.3 juta di Mahkamah Sesyen Johor Bahru.

Disiarkan pada: June 14, 2017 @ 12:46pm
d