utama

[UPDATE] Konvoi pulang kampung sambut Aidilfitri

Oleh Rosli Ilham

KESEMUA mangsa termasuk tiga yang maut dalam kemalangan di Kilometer 327.2 Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) di Kerteh, hari ini, adalah pekerja kedai makan di Kuantan.

Mereka dikatakan dalam perjalanan pulang ke Pattani, Thailand untuk menyambut Aidilfitri di kampung masing-masing.

Van dinaiki kesemua mangsa itu juga dikatakan berkonvoi dengan sebuah lagi kenderaan yang membawa rakan mereka.

Seorang warga Thailand, Adnan Loji, 30, berkata, van terbabit dinaiki seorang rakannya mesra dengan panggilan Abe yang parah dalam kejadian itu.

Menurutnya, van terbabit dalam perjalanan dari Kuantan untuk menghantar pulang kesemua mangsa yang bekerja sebagai pekerja kedai makan di sekitar Kuantan ke Pattani.

"Van terbabit konvoi dengan sebuah lagi van dan saya mendapat tahu Abe terbabit kemalangan oleh seorang lagi yang menaiki van di belakang," katanya yang juga bekerja di kedai makan di Kuantan.

Menurutnya, pada mulanya dia menyangkakan van berkenaan hanya terbabit dalam kemalangan kecil tetapi terkejut sebaik tiba di tempat kejadian apabila mendapati keseluruhan van itu remuk.

Dalam kejadian 3.20 pagi itu, tiga lelaki maut manakala enam lagi parah selepas van dinaiki mereka merempuh belakang lori.

Lima yang parah kemudiannya dikejarkan ke Hospital Dungun sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu manakala seorang lagi dibawa ke Hospital Kemaman.

Tiga mangsa yang maut itu dikenali sebagai Tuan Isama Ael, 27; Nurdeen, 18; dan Mayuni, 28.

Enam yang parah pula ialah pemandu van, Mohd Nasri, 41; Kado, 53; Nasmee, 16; Ahamad Seman Shahmil, 40; serta dua wanita, Faridah, 41, dan Royita, 30.

Pemandu lori yang membawa muatan baja itu, Jamil Lisut, 56, tidak cedera.

Jamil pula berkata, dia dalam perjalanan ke FELDA Kerteh 5 untuk menghantar bekalan baja terbabit.

Menurutnya, ketika tiba di tempat kejadian tiba-tiba dia terdengar bunyi dentuman di belakang kenderaannya itu.

Menurutnya, pada mulanya dia beranggapan tayar belakang kenderaannya meletup.

"Apabila saya berhenti dan keluar untuk memeriksa di belakang lori didapati terdapat sebuah van dalam keadaan berasap dan besi belakang lori bengkok dilanggar kenderaan itu," katanya.

Disiarkan pada: June 14, 2017 @ 1:33pm
d