utama

Jumlah korban belum pasti

Oleh Agensi

PIHAK berkuasa mengesahkan ada sejumlah mangsa yang maut dalam kebakaran besar bangunan kediaman 27 tingkat di tengah London, hari ini.

Reuters melaporkan, Pesuruhjaya Pasukan Bomba London, Dany Cotton, berkata ada ‘sejumlah mangsa yang maut’ akibat kebakaran itu yang dianggapnya terbesar sepanjang beliau menjadi anggota bomba.

“Saya bagaimanapun belum dapat mengesahkan jumlah kematian,” katanya.

Perkhidmatan Ambulans London menyatakan 50 mangsa dikejarkan ke lima hospital sekitar London.

Menurut Daily Mail, sekurang-kurangnya seorang penghuni terperangkap di tingkat 11 dan anggota bomba berusaha keras untuk sampai kepadanya.

Selepas kebakaran bermula kira-kira tengah malam waktu tempatan, lebuh 600 penghuni berasak-asak keluar dari Grenfell Tower di Latimer Road, White City.

Api dipercayai bermula di tingkat dua sebelum merebak ke atas hingga ke bumbung bangunan mengandungi 120 rumah itu dalam masa 15 minit.

Lebih 200 anggota bomba sedang berusaha mengawal kebakaran bangunan yang dibina pada 1974 itu.

Disiarkan pada: June 14, 2017 @ 3:56pm
d