utama

Eh... ingat Atan tadi [METROTV]

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

BERSUARA seperti kanak-kanak menarik pelanggan ke gerainya menjadikan Mohd Amirul Shamsudin, 26, mencuri tumpuan orang ramai di Bazar Raya Mega Koperasi Peniaga-Peniaga Pasar Malam (Persalam), Seri Manjung, sejak awal Ramadan lalu.

Mohd Amirul yang mesra dipanggil Along itu mempunyai kelebihan meniru suara kanak-kanak seolah suara watak Atan yang dibawa Datuk Jamali Shadat selain bunyi haiwan seperti kucing dan ayam.

Menurutnya, pada mulanya ramai yang memandangnya dengan pelik apabila dia bersuara kanak-kanak ketika memanggil pelanggan ke gerai.

Namun keunikan itu menjadikannya tumpuan terutama kepada kanak-kanak.

"Saya sering menjadi tumpuan dengan suara ini terutama kanak-kanak yang terpaku apabila saya bersuara, namun ada juga yang takut. Mungkin pelik melihat saya yang dewasa ini mempunyai suara budak kecil.

"Ada juga yang bertanya adakah suara ini suara sebenar atau mengajuk sahaja dan saya akan terangkan kepada mereka setiap insan akan dikurniakan kelebihan atau bakat semula jadi," katanya yang mengakui meminati Jamali Shadat.

Disiarkan pada: June 15, 2017 @ 3:36pm
d