utama

Sulaiman ganti Isa

TAN Sri Dr Sulaiman Mahbob dilantik sebagai pemangku Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) menggantikan Tan Sri Isa Samad.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan perkara itu berkuat kuasa serta merta.

Sulaiman, 67, sebelum memegang jawatan Ketua Pengarah di Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal.

Hari ini, satu mesyuarat diadakan di Putrajaya untuk membincangkan isu FGV, termasuk laporan pihak bebas dilantik kerajaan untuk menyelesaikan krisis melanda syarikat perladangan terbesar negara itu.

Isa bertemu dengan Najib di Perdana Putra kira-kira jam 8 pagi tadi tetapi menggunakan laluan lain sebaik keluar kira-kira jam 11 pagi.

Kemelut FGV mencapai kemuncak apabila Isa dan Lembaga Pengarahnya mengarahkan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Zakaria Arshad, Ketua Pegawai Kewangan FGV, Ahmad Tifli Mohd Talha, Ketua Pegawai Eksekutif FGV Trading, Ahmad Salman Omar dan Pengurus Besar Kanan Delima Oil Products, Kamarzaman Abd Karim untuk bercuti 6 Jun lalu.

Susulan krisis itu, kerajaan melantik bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala sebagai orang tengah bagi mencari penyelesaian kepada krisis itu.

Selain itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut memulakan siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam syarikat itu.

Disiarkan pada: June 19, 2017 @ 2:09pm
d