utama

306 asnaf terima sumbangan [METROTV]

Oleh Mohd Hanafis Abd Haris

PROGRAM Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) Edisi Khas Ramadan 2017 di Gopeng, Perak, melabuhkan tirainya hari ini dengan jumlah penerima sumbangan terbanyak pada tahun ini, iaitu 306 penerima.

Pengerusi TKHM, Othman Mamat, berkata penyerahan bantuan dan sumbangan duit raya itu membabitkan anak yatim, ibu tunggal dan fakir miskin.

Menurutnya, 201 anak yatim menerima bantuan keperluan raya manakala 105 ibu tunggal dan golongan asnaf menerima sumbangan keperluan asas seperti minyak dan beras.

“Alhamdulillah, program dua hari ini berjalan dengan lancar. Terima kasih kepada semua pihak khususnya penaja iaitu Vida Beauty, UMW Toyota Motor Sdn Bhd, Yusuf Taiyoob Sdn Bhd (Yusuf Taiyoob), Adan Laundry serta penduduk dan ahli jawatankuasa Masjid,”™ katanya.

Beliau berkata, program TKHM berkemungkinan diteruskan berikutan sambutan memberangsangkan daripada semua pihak.

“Program seterusnya mungkin diadakan selepas Hari Raya namun bergantung kepada sokongan penaja.

“Kami akan teruskan tanggungjawab sosial korporat (CSR) TKHM untuk mendekati komuniti dan penduduk di seluruh Malaysia,” katanya.

TKHM adalah program CSR Harian Metro sejak 10 tahun lalu dan TKHM Edisi Khas Ramadan 2017 di Gopeng membabitkan penganjuran selama dua hari bermula semalam.

Program TKHM 2017 di Gopeng pada hari kedua dimulakan dengan aktiviti melapah kerbau dan gotong-royong memasak juadah berbuka puasa.

Pada sebelah petang, Vida turut meluangkan masa menziarah lima rumah sekitar Gopeng bagi menyampaikan sumbangan khas sebelum hadir pada majlis penyampaian sumbangan di Masjid Jamek Baru Gopeng kira-kira jam 6 petang.

Turut hadir pada majlis penyampaian sumbangan ialah Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar.

Sementara itu Pengasas Vida Beauty, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida berkata, dia berpuas hati dengan program berkenaan kerana dapat berkongsi rezeki dengan golongan kurang berkemampuan seperti anak yatim dan asnaf.

Menurutnya, beliau tidak teragak-agak untuk sekali lagi menaja TKHM selepas menjadi penaja utama TKHM Edisi Khas di Masjid Jamek Baru Gopeng itu.

“Hello Harian Metro, mai (mari) kita buat lagi. Kalau diberi peluang mesti saya nak lagi buat program ini dengan akhbar ini," katanya.

Disiarkan pada: June 20, 2017 @ 12:31am
d