utama

'Nak bantu abah, cari duit raya'

Oleh Hamzah Osman

“CUMA 10 peratus tanya bab perniagaan aiskrim...selebihnya ramai hantar mesej mengusik,” kata Nor Syamimi Azhari, 22, atau si cantik penjual aiskrim yang beritanya dimuatkan di portal Harian Metro, semalam.

Hari ini, Harian Metro ke rumahnya semula di Kampung Belanga Pechah, Mukim Ayer Hangat, dan Nor Syamimi berkata, dia menerima purata 100 mesej sehari sejak tiga hari kebelakangan ini.

Mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM) itu berkata, dia juga bersyukur dan tersentuh dengan komen positif netizen terhadap usahanya mebantu ayah bagi mencari pendapatan tambahan Aidilfitri.

"Sebenarnya, video dan gambar itu sudah lama dalam simpanan telefon bimbit saya dan abah. Cuma baru saja muat naik ke Facebook. Tak sangka pula nak tular di FB.

“Selepas portal Harian Metro dan MetroTV menyiarkan berita serta video, jumlah mesej terus bertambah," katanya ketika ditemui.

Penuntut tahun tiga dalam Jurusan Pendidikan Biologi itu, mengakui membaca semua komen positif dan negatif daripada netizen dalam portal berita serta menganggap ia sebagai 'kuliah' untuk memajukan diri dalam bidang keusahawanan.

"Cuma video dan gambar yang tular itu turut diselit nombor telefon. Sebab itulah agaknya telefon saya dihujani mesej,” katanya.

Nor Syamimi berkata, dia sudah lebih empat tahun menjual aiskrim menggunakan motosikal bagi membantu abahnya.

“Apa nak malu kerana ini kerja halal. Malah, aiskrim yang dijual agak istimewa kerana ia resipi ciptaan keluarga saya sendiri," katanya.

Berita mengenai Nor Syamimi yang dikongsi di akau Facebook Harian Metro mencapai 1.5 juta pengguna, lebih 32,000 likes dan dikongsi lebih seribu kali.

Sementara itu, video Nor Syamimi yang dimuatnaikkan ke MetroTV di plarform Youtube pula ditonton lebih 40,000 orang dalam 15 jam.

b>Berita berkaitan

Si cantik penjual aiskrim [METROTV]

Disiarkan pada: June 22, 2017 @ 2:18pm
d