utama

Polis siasat surat terbuka

Oleh Norizuan Shamsuddin

POLIS akan meneliti semula kertas siasatan berhubung kes samun yang ada kaitan dengan surat terbuka untuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga tular di media sosial, sejak kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, berkata pihaknya akan menilai fakta dalam surat terbabit termasuk aduan tidak puas hati mengenai siasatan kes samun dinyatakan.

"Peringkat pertama, kita akan tengok apa sebenarnya yang berlaku berhubung kes yang dinyatakan dalam surat itu.

"Siasatan berhubung kes samun prosedurnya dan sekiranya pegawai penyiasat didapati melanggari Standard OperasiProsedur (SOP) kita akan ambil tindakan.

"Jika dia (pegawai penyiasat) dikesan hilangkan keterangan seperti didakwa, kita akan ambil tindakan mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan," katanya pada sidang media majlis serah terima tugas Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), di Bukit Aman, hari ini.

Pada majlis itu, Pengarah KDNKA, Datuk Sri Muhammad Sabtu Osman, yang akan menjalani persaraan wajib, 28 Jun ini, menyerahkan tugas kepada Timbalannya, Datuk Amer Awal, yang akan memangku jawatan Pengarah KDNKA.

Sebelum itu, pengguna Facebook menggunakan nama Nukman Muqarrin dikesan memuat naik status bertajuk Surat Terbuka Untuk Polis Diraja Malaysia (Royal Malaysia Police) di akaun laman sosial miliknya, pada 4.22 petang kelmarin.

Kandungan surat terbuka itu meluahkan rasa tidak puas hati pemilik akaun terhadap siasatan PDRM berhubung kes samun bersenjata dilakukan sekumpulan lelaki terhadap dirinya, pada 20 Februari lalu.

Disiarkan pada: June 23, 2017 @ 11:53am
d