utama

Peristiwa itu masih berbekas di ingatan

Oleh Aizat Sharif

“ADA masanya, peha kanan saya membengkak dan sakit sehingga sukar berjalan akibat serpihan peluru yang tak dapat dikeluarkan," kata Nur Syahida Bakar, 12, yang cedera terkena tembakan 13 peluru penabur dilepaskan pemburu burung ayam-ayam ketika dia sedang makan di dapur rumah di Kampung Lubuk Keriang, Pokok Sena pada 24 April lalu.

Walaupun sudah dua bulan peristiwa itu berlalu, pelajar tahun enam Sekolah Kebangsaan Tualang itu masih tidak dapat melupakan kejadian yang hampir meragut nyawanya itu.

"Rasa ngeri kejadian itu perlahan-lahan lenyap. Saya masih lagi makan dan minum di dapur (tempat tembakan berlaku) tetapi apabila melihat kepada pintu peti sejuk yang berlekuk kerana tembakan itu, saya teringat semula.

“Malah, bila peha saya sakit dan bengkak, fikiran saya terus teringat kejadian itu,” katanya.

Nur Syahida berkata, peluru yang tertanam di tubuhnya tidak menjejaskan pembelajarannya di sekolah dan dia masih dapat meneruskan pengajiannya seperti biasa.

“Selain peha yang kadang-kadang bengkak, tiada masalah lain dan saya masih boleh bersekolah. Saya pun sudah dapat teruskan kehidupan seperti biasa,” katanya.

Sementara itu, bapanya, Bakar Saad, 46, berkata, walaupun anaknya pulih dan menjalani kehidupan normal, namun di hatinya masih bimbang mengenai kesan kesihatan kepada anak keduanya itu dalam jangka panjang.

"Masih terdapat enam serpihan peluru tertanam pada tubuh anak saya, lima di badan dan satu di peha kanan. Walaupun ia tidak menjejaskan kesihatan buat masa ini, tetapi saya khuatir kesan apabila dia dewasa.

"Peluru yang tertanam itu tidak dapat dikeluarkan kerana ia berada agak dalam dan menurut doktor jika dikeluarkan boleh memberi kesan kepada tisu dalaman.

"Langkah terbaik adalah membiarkan saja peluru itu di situ dan memantau perkembangan kesihatannya,” katanya.

Bakar berkata, selepas pembedahan utama yang mengeluarkan serpihan peluru penabur daripada badan, dahi, siku dan lutut kanan, anaknya hanya bergantung kepada rawatan perubatan Islam sekitar Pokok Sena untuk merawat kesakitan sekiranya mengalami bengkak pada peha.

"Saya dan isteri ada juga temujanji dengan pihak hospital pada 11 Julai nanti untuk membawa Nur Syahida ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar bertemu pakar pembedahan plastik untuk melihat perkembangannya terkini.

"Aidilfitri kali ini juga disambut seperti biasa macam tahun sudah, tanpa apa-apa keistimewaan dan saya gembira Nur Syahida pulih," katanya.

Bakar berkata, biarpun terkilan dengan kejadian itu dia bersyukur anaknya terselamat.

Nur Syahida adalah anak kedua pasangan Bakar Saad dan Jamilah Teh, 42, yang turut dikurniakan tiga lagi cahaya mata perempuan iaitu Nur Atikah, 15, Nur Ain Diana, 7, dan Nur Fatin Salsabila, 3.

Dalam kejadian 5 petang, 24 April lalu, Nur Syahida sedang makan nasi bersama ibu dan Nur Fatin Salsabila menghadap sawah sebelum terkena tembakan peluru sesat itu.

Dia terkena peluru yang dipercayai dilepaskan 20 meter di kawasan sawah padi di belakang rumah mereka.

Nur Syahida dikejarkan ke hospital untuk rawatan dan susulannya laporan polis dibuat membawa kepada penahanan tiga lelaki berusia antara 74 hingga 46 tahun serta rampasan senjata yang digunakan dalam kejadian itu.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 37 Akta Senjata 1960 dan polis memaklumkan pemilik senjata berusia 74 tahun itu mempunyai lesen sah tetapi tidak mengetahui senjatanya digunakan oleh anaknya.

Disiarkan pada: June 26, 2017 @ 1:51pm
d