utama

Semoga adik Yaran cepat sembuh

Oleh Ramli Ibrahim

SEORANG kanak-kanak perempuan Orang Asli berusia lima tahun yang melecur di mata kiri selepas terkena air panas sejak empat hari lalu dikejarkan ke Hospital Gua Musang (HGM), semalam.

Mangsa, Yaran Jali dari Kampung Chemal, Pos Belatim dihantar ke HGM menggunakan penerbangan ihsan Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) jam 3.10 petang.

Pegawai Perhubungan Awam Pangkalan Udara Subang, Mohd Farhan Marzuki berkata, pihaknya menerima laporan daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Gombak dan arahan segera dikeluarkan kepada krew pesawat AW139 yang berlepas dari Pengkalan Udara Bertam, Pulau Pinang jam 2.30 petang.

"Penerbangan ke Kampung Chemal mengambil masa 40 minit dan pesawat berjaya mendarat di pekarangan Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang jam 3.25 petang sebelum mangsa dihantar ke HGM dengan ambulans," katanya.

Katanya, penerbangan itu diketuai, juruterbang, Kapten Leong Cheong Meng dan dibantu, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohamad Muizz Md Pisar.

Mohd Farhan berkata, penerbangan ihsan itu adalah yang ke-13 tahun ini bagi menyelamatkan pesakit Orang Asli kritikal yang tinggal di pedalaman Gua Musang.

Difahamkan keadaan kanak-kanak Orang Asli itu semakin baik dan dia hanya melecur di bahagian luar mata.

Disiarkan pada: June 26, 2017 @ 2:53pm
d