utama

Pengorbanan suami

Oleh Ridhatul Rizki

“SELEPAS melakukan solat sunat Istikharah, saya cekalkan hati berhenti kerja untuk menemani isteri yang keseorangan di Tanah Haram,” kata Azra Azim Jamal Abdul Nasir, 29.

Jamal sanggup meninggalkan kerjayanya sebagai juruteknik di pelantar minyak demi menemani isteri, Nadia Abu Kassim, 29, yang bertugas pada Aidilfitri di Madinah.

Azra berkata, keputusan itu diambil memandangkan isterinya baru saja melahirkan anak sulung mereka pada 22 April lalu.

“Pada awalnya susah juga nak buat keputusan untuk berhenti kerja kerana sudah lima tahun berkhidmat di syarikat terbabit.

“Bagaimanapun, apabila memikirkan isteri baru saja selesai berpantang, saya nekad berhenti kerja,” katanya menambah sudah empat tahun tidak berkesempatan beraya bersama keluarga di Kuala Lumpur.

“Selama berkhidmat di pelantar minyak, saya tak berkesempatan beraya bersama keluarga. Dan sekarang, saya pula ambil keputusan beraya di Madinah.

“Bagaimanapun, saya bersyukur keluarga saya amat memahami dan mereka menyokong keputusan saya,” katanya.

Tambahnya, dia sudah berada di Madinah sejak 14 Jun lalu dan akan menemani isteri selama tiga bulan.

"Saya belum ada perancangan jika akan berpindah ke sini. Buat masa ini, saya akan menemani isteri sehingga tamat tempoh visa pelancong," katanya.

Sementara itu, Nadia yang bertugas sebagai jururawat di Hospital Prince Mohammad bin Abdul Aziz National Guard Madinah menganggap suaminya melakukan pengorbanan yang cukup besar deminya dan anak lelaki yang baru dilahirkan.

“Kalau nak ikutkan keluarganya memang sedih sudah lama tidak dapat beraya bersama.

“Disebabkan saya jauh, dia pula ambil keputusan untuk beraya di sini. Tapi Alhamdulillah walaupun jauh, kami masih boleh berhubung melalui panggilan video,” katanya.

Disiarkan pada: June 26, 2017 @ 10:00pm
d