utama

Orang lah bukan makhluk halus [METROTV]

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PENYANYI, Izzue Islam terkejut apabila dimaklumkan terdapat penampakan makhluk halus pada video program yang dihoskannya berjudul Destinasi Hijau.

Video berdurasi 45 saat yang mulai tular di media sosial sejak semalam memaparkan seorang wanita berpakaian serba hijau hilang sekelip mata ketika Izzue naik ke rumah.

Izzue berkata, penggambaran itu dibuat di sebuah inap desa di Sungai Besar, Sabak Bernam.

"Pada awalnya saya memang terkejut dan naik seram dibuatnya selepas mendapat tahu mengenai perkara itu. Tetapi saya tak nak terlalu cepat percaya. Jadi saya pun menghubungi pengarah dan penyunting untuk bertanyakan perkara itu.

"Mereka pun tak tahu menahu malah turut terkejut dengan cerita itu. Namun selepas saya menghantar video itu kepada mereka ternyata penampakan itu adalah manusia sebenar.

"Mereka memberitahu makcik itu berada di sebelah rumah dan segera berundur apabila perasan kamera berada di situ," katanya kepada Harian Metro.

Izzue yang juga seorang pelakon menasihati pengguna laman sosial dan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan apa yang disebarkan.

Video yang dikongsikan menerusi Facebook itu sudah ditonton lebih 150,000 penonton dan mendapat 99 perkongsian.

Penggambaran program itu dijalankan pada awal tahun ini dan ditayangkan pada bulan Ramadan lalu di TV1.

Disiarkan pada: June 28, 2017 @ 2:06pm
d