utama

'Pengalaman paling mencabar' Kapten Ibrahim

Oleh Mazizul Dani

“TERPULANG kepada individu. Sekiranya ada yang tidak mempercayai doa, tidak mengapa. Saya orang Islam, saya percaya kepada doa tetapi kita tetap perlu berusaha selepas berdoa.”

Demikian kata juruterbang AirAsia X, Kapten Ibrahim Jalaluddin, 63, selepas ada yang mengkritiknya di media sosial hanya kerana meminta penumpang untuk berdoa ketika pesawat Airbus A330 yang dikendalikan mengalami gegaran kuat.

Kritikan itu dilemparkan Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Zaid Ibrahim menerusi Twitter yang antara lain memberi maksud dia lebih selesa sekiranya tidak diberitahu yang kematian sudah semakin dekat.

Dalam kejadian 25 Jun lalu, penerbangan D7237 dari Perth, Australia ke Kuala Lumpur dikendalikan Ibrahim bersama sembilan lagi kru kabin mengalami gegaran kuat dipercayai disebabkan masalah enjin dan terpaksa berpatah balik.

Menceritakan kembali kejadian mencemaskan itu, Ibrahim menyedari ada sesuatu yang tidak kena sebelum membuat pengumuman berpatah balik ke Lapangan Terbang Perth selain minta untuk berdoa.

"Ketika berada pada ketinggian 38,000 kaki selepas 1 jam 25 minit, pesawat tiba-tiba berhayun ke kiri dan ada bunyi kuat seperti berlanggar.

"Jadi saya mengikut Standard Operasi Prosedur (SOP) dan perhatikan instrumen pada kokpit serta mendapati enjin kiri rosak. Pesawat kemudian berhayun ke kanan semula.

"Ketika berpatah balik satu enjin sudah mati dan saya turun pada ketinggian 25,000 kaki tetapi gegaran masih ada walaupun saya sudah lakukan apa yang sepatutnya," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Sebelum itu, beliau sudah membuat pengumuman ketika pesawat berpatah balik dengan memberitahu jangkaan masa ketibaan dan mengingatkan 357 penumpang supaya mengikut arahan kru kabin.

Ia diikuti pengumuman kedua yang turut meminta untuk berdoa.

"Ada yang mengatakan saya panik dan menggeletar ketika membuat pengumuman. Sebenarnya tidak. Saya sangat tenang dan tidak panik. Apa yang berlaku ialah pesawat bergegar, jadi saya nak pegang sistem audio pun bergegar. Itu jadi bunyi seperti menggeletar.

"Apapun, sepanjang perjalanan mendebarkan itu, saya mendapat kerjasama yang sangat baik daripada sembilan lagi kru kabin termasuk pembantu juruterbang. Kami berkomunikasi dengan sangat baik dan anak kapal juga mengikut arahan yang diberikan," katanya yang sudah 44 tahun dalam industri penerbangan.

Ibrahim yang menyertai AirAsia sejak lebih tiga tahun lalu berkata, sebaik selamat mendarat, dia bersalaman dengan semua penumpang dari pelbagai negara termasuk kanak-kanak.

"Ketika kejadian, apa yang ada dalam fikiran saya adalah persoalan sudah cukupkah amalan saya? Saya sebak ketika bersalaman dengan penumpang dan ramai yang memberi penghargaan.

"Antara ucapan terima kasih kerana menyelamatkan nyawa mereka. Saya juga ada bertanya kepada seorang kanak-kanak, bagaimana pengalamannya. Dia kata, 'it was fun...' (Ia menyeronokkan)," katanya.

Ibrahim yang menetap di Shah Alam, Selangor turut mengakui ini adalah pengalaman yang paling mencabar sepanjang bekerja di awan biru, namun tidak trauma dengan apa yang berlaku dan akan meneruskan tugasnya seperti biasa.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes turut memuji Ibrahim dan semua kru kabin menerusi Facebook (FB) yang sudah dikongsi hampir 4,000 kali setakat berita ini ditulis.

“Sangat bangga dengan semua kru yang diketuai oleh Kapten Ibrahim dan pembantu juruterbang Vincent dan Purser Ruijaruuneglai yang melakukan tindakan sangat berani memastikan semua penumpang selamat. AirAsia tidak membuat enjin dan semua syarikat penerbangan berdepan masalah enjin.

“Tetapi bila perkara ini berlaku, ia memerlukan juruterbang yang hebat dan kepimpinan yang hebat ketika berdepan krisis. Saya dilimpahi rasa bangga. Berdasarkan video semua penumpang cukup tenang dan daripada emel dan mesej di aplikasi Whatsapp yang saya terima, pengumuman kapten membuatkan semua orang bertenang,” katanya dalam catatan berkenaan.

Berita berkaitan:

Puji kru, pesawat AirAsia X

ATSB jalankan siasatan

Siasat punca kejadian

Tindakan berpatah balik adalah pilihan terbaik

Disiarkan pada: June 28, 2017 @ 10:21pm
d