utama

Tragedi air pasang

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

KEGEMBIRAAN dua beradik bercuti sempena Aidilfitri bertukar tragedi apabila mereka lemas di Pantai Kampung Janglau, Rompin, 12 tengah hari, hari ini.

Nur Nabilah Sharul Ami, 21, dan Ainur Huda, 14, dikatakan mandi bersama lapan lagi saudara sebelum dihanyutkan air pasang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Rompin, Amirul Naem Harun berkata, mangsa berasal dari Taman Murni, Parit Buntar, Perak berkunjung ke rumah saudara di Kampung Janglau.

"Mereka kemudian mengambil keputusan mandi di kawasan pantai yang terletak beberapa meter dari rumah saudara sambil ditemani ahli keluarga lain.

"Ketika kejadian, air laut dalam keadaan surut sebelum bertukar pasang menyebabkan mangsa dihanyutkan," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Difahamkan, lapan lagi mangsa diselamatkan penduduk kampung dan ahli keluarga menggunakan sampan di kawasan pantai berkenaan.

Amirul Naem berkata, dua beradik itu disahkan meninggal dunia dan jenazah dihantar ke Hospital Rompin untuk tindakan lanjut.

Disiarkan pada: June 29, 2017 @ 5:20pm
d