utama

'Damailah kau di sana wahai anak' ‎إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعون

Oleh Mohammad Ishak

JENAZAH mangsa dera, Muhammad Hairil Amsyar Abd Rahman selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Tanah, Jertih, 5.30 petang hari ini.

Seramai 50 ahli keluarga dan jiran termasuk ibu mangsa, Nor Syafiqah Abd Kadir, 27, menghadiri pengkebumian berkenaan selepas jenazah kanak-kanak terbabit tiba dari Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu kira-kira 5 petang.

Nor Syafiqah kelihatan tidak bermaya dan menitis air mata ketika jenazah anak ketiganya itu dibawa turun ke liang lahad hingga ditenangkan ahli keluarganya.

Muhammad Hairil, 5, disahkan meninggal dunia di Unit Kecemasan Hospital Besut selepas dibawa oleh bapa tirinya kira-kira jam 3.30 pagi semalam selepas suspek mendakwa kanak-kanak itu tercedera akibat terjatuh dari motosikal ditunggangnya.

Bagaimanapun, alasan suspek diragui pihak hospital yang mendapati terdapat kesan lebam lama dan baru pada tubuh badan mangsa sebelum membuat laporan polis mengenai kejadian.

Keputusan bedah siasat yang dilakukan di HSNZ hari ini menunjukkan kematian mangsa berpunca daripada hentakan kuat yang menyebabkan koyakan pada usus kecilnya.

Bapa tiri mangsa yang berusia 38 tahun sudah ditahan polis pagi semalam untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 3023 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berdukacita dengan kejadian itu dan kecewa kerana ada bapa yang tidak bertanggungjawab dengan sanggup mendera anak hingga menyebabkan kematian.

"Saya bagi pihak kerajaan negeri ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga terbabit dan berharap dapat bersabar," katanya ketika menghadiri majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Jertih hari ini.

Ahmad Razif berkata, pihaknya minta polis dapat menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap kes berkenaan.

Disiarkan pada: June 29, 2017 @ 8:59pm
d