utama

Laungan takbir ubat rindu [METROTV]

Oleh Asrizal Aris

 

SIAPA sangka di sebalik kemerduan kanak-kanak mengalunkan takbir Aidilfitri di Masjid At-Taqwa, Pekan, Ahad lalu, hatinya sayu dihimpit kerinduan terhadap arwah neneknya.

Meskipun Mohd Syawal Syakir Mohd Yusry, 11, tiada masalah melaungkan takbir dengan jelas tanpa tersangkut, dia berasa kehilangan kerana tidak dapat beraya bersama insan yang rapat dengannya.

Mohd Syawal berkata, ketika melaungkan takbir raya pada hari pertama Aidilfitri itu, dia sedang menahan kerinduan kepada neneknya yang meninggal dunia Disember tahun lalu akibat kanser hati tahap empat.

“Saya teruskan juga kerana mahu menghargai peluang yang diberikan oleh jemaah yang mempercayai kebolehan saya,” katanya.

Menariknya, cubaan itu berlaku spontan selepas seorang jemaah di masjid berkenaan memberi peluang kepadanya untuk mengalunkan takbir raya selepas melihat keyakinan murid tahun lima itu yang berada di saf hadapan.

Kemerduan suara Mohd Syawal melaungkan takbir Aidilfitri itu menyebabkan beberapa jemaah mengalir air mata.

“Meskipun pertama kali melaungkan takbir raya di masjid, saya pernah melakukannya di surau di Kampung Felda Bukit Kuantan pada Aidilfitri tahun lalu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Syawal berkata, dia juga kerap melaungkan azan di surau berdekatan rumahnya di Taman Mentiga Jaya, Pekan.

"Saya menjadi muazzin di surau sejak berusia 10 tahun dan memang meminati pengajian agama sejak kecil selain aktif dengan pertandingan memperdengarkan bacaan al-Quran di sekolah.

"Saya sangat meminati Ustaz Don Daniyal sejak berusia enam tahun sehingga cara bacaan hafazan al-Quran saya terikut-ikut seperti dia," kata anak sulung daripada dua beradik itu.

Katanya, dia memasang impian untuk menjadi penceramah bebas suatu hari nanti dan menyimpan keinginan untuk bertemu dengan idolanya, Ustaz Don.

Ibunya, Norsiah Rashid, 35, berkata, Mohd Syawal tidak pernah meninggalkan solat Subuh berjemaah di masjid sepanjang Ramadan lalu.

"Alhamdulillah, minat dia pada pengajian agama begitu mendalam dan luar biasa. Selain bacaan al-Quran, dia juga meminati nasyid.

"Harap adiknya berusia lima tahun mengikut jejaknya kerana adiknya sudah menunjukkan minat," katanya yang juga isteri kepada tukang masak.

Video Mohd Syawal melaungkan takbir raya yang berdurasi seminit enam saat itu tular sejak Isnin lalu selepas dimuat naik oleh jemaah Masjid At-Taqwa, Abd Bashir Abd Ghani melalui akaun Facebook miliknya dan menerima lebih 20,000 perkongsian serta lebih 1 juta tontonan. 

Ia juga mendapat pelbagai reaksi positif daripada netizen yang rata-ratanya kagum dengan Mohd Syawal.

Norsiah berkata, dia berharap video anaknya yang tular di media sosial diambil positif oleh masyarakat serta menjadi ikutan kepada generasi muda yang sebaya dengan Mohd Syawal.

Disiarkan pada: June 30, 2017 @ 10:40pm
d