utama

Aduhai...Wan Ammar, Wan Ammar

Oleh Ramli Ibrahim

KANAK-KANAK lelaki yang dibawa ibu saudaranya bercuti ke Cameron Highlands tertinggal hampir tiga jam di Masjid Keputeraan Lojing, Gua Musang.

Wan Ammar Fatah Wan Azman, 16 bulan, dikatakan ditemui orang ramai di masjid itu yang kemudiannya menyerahkan dia kepada polis, pada kira-kira 2 petang semalam.

Wan Ammar kemudian diambil oleh Ibu saudaranya, Norensyazana Ab Rahim, 19, di Pondok Polis Lojing, kira-kira 5 petang.

Norensyazana berkata, dia membawa anak saudaranya itu bersama ahli keluarganya ke Cameron Highlands sebelum berhenti di masjid itu untuk solat Zohor.

Katanya, selepas selesai solat, dia terus menaiki kenderaan dan menyangka anak saudaranya itu diambil ahli keluarga lain dengan menaiki kenderaan lain.

"Bagaimanapun, sebaik tiba di di Ladang Teh Kampung Raja, Cameron Highlands, kira-kira 3 petang, baru saya sedar Wan Ammar tertinggal di masjid itu.

“Kami terus berpatah balik ke masjid itu dan dimaklumkan anak saudara saya dibawa ke di Pondok Polis Lojing.

“Saya bersyukur sebaik melihat Wan Ammar berada dalam keadaan baik," katanya ketika ditemui di Pondok Polis Lojing.

Menurutnya, Wan Ammar dibawa pulang dari Kuala Lumpur untuk menyambut Aidilfitri bersama keluarga di Rancangan Kemajuan Tanah KESEDAR Sungai Asap, Gua Musang.

Ini berikutan ibu bapa kanak-kanak berkenaan bekerja.

Disiarkan pada: July 2, 2017 @ 1:06pm
d