utama

Pengantin baru maut dalam kebakaran

Oleh Helmy Abd Rahman dan Nazdy Harun

SEORANG wanita yang baru tiga bulan berkahwin, maut dalam kebakaran sebuah rumah di Jalan Kepong, Kampung Pengadang Baru, Kuala Terengganu, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 4 petang itu, Siti Nor Munirah Abu Bakar, 31, yang berkahwin Mac lalu, meninggal dunia selepas terperangkap di tingkat atas rumah dua tingkat itu ketika kebakaran berlaku.

Mayat Siti Nor Munirah yang rentung di bahagian bawah rumah mentuanya itu.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Terengganu, Sharikan Bustaman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.33 petang.

"Ketika pasukan bomba tiba di lokasi, rumah berkenaan sudah 80 peratus terbakar dan kita berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke rumah lain.

“Kebakaran dapat dipadam sepenuhnya pada 5 petang,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa ditemui pada 6 petang dan beliau percaya Siti Nor Munirah yang terperangkap di tingkat atas, jatuh ke bawah bersama lantai yang terbakar.

Siti Nor Munirah dan suaminya, Abdul Mukmin Ahmad, 35, baru mengadakan majlis sambut menantu, Rabu lalu.

Disiarkan pada: July 2, 2017 @ 9:32pm
d