utama

Bola punya pasal

Oleh Farah Suhaidah Othman

BERMULA dengan bertikam lidah mengenai perlawanan bola sepak, tiga lelaki parah dipercayai ditembak sekumpulan lelaki di hadapan sebuah kedai serbaneka 24 jam di Jalan Kledang Timur 10, Menglembu, malam semalam.

Dalam kejadian 8 malam itu, tiga lelaki berusia antara 21 hingga 29 tahun cedera di beberapa bahagian badan dan dilaporkan dirawat di Zon Merah, Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh.

Difahamkan, kejadian itu dipercayai berpunca daripada pergaduhan pada perlawanan bola pada sebelah petang antara dua kumpulan sehingga membabitkan penggunaan kata kesat.

Bapa kepada seorang daripada mangsa turut menerima ugutan seorang lelaki memberitahu akan menembak anak serta rakan anaknya.

Sumber polis berkata, mangsa yang berusia 24 tahun dipercayai datang ke sebuah kedai selepas seorang daripada suspek menghubunginya untuk berjumpa di lokasi berkenaan.

Katanya, sebaik tiba, suspek melepaskan beberapa das tembakan dan terkena di beberapa bahagian badan termasuk leher dan peha.

“Pada masa sama, dua lagi mangsa berusia 21 dan 29 tahun yang dipercayai berada di lokasi kejadian turut ditembak,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Perak Datuk Zainuddin Yaacob ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata kes berkenaan masih dalam siasatan.

“Sebarang perkembangan terkini akan dimaklumkan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Disiarkan pada: July 3, 2017 @ 8:24pm
d