utama

Nak lari ke mana tu.... [METROTV]

Oleh Nabihah Kamal

 

KERANA tiada cukai jalan, seorang wanita yang baru pulang daripada beraya sanggup mengambil risiko berpatah balik dan melawan arus menunggang motosikalnya sebelum dia ditahan oleh anggota polis trafik Kuala Lumpur dalam Operasi Bersepadu Trafik tengah malam tadi.

Wanita berbaju kurung berusia 32 tahun itu berpatah balik dengan memecut motosikalnya selepas melihat sekatan jalan oleh polis di Jalan Tuanku Abdul Rahman 12 tengah malam.

Wanita terbabit ketika ditemui berkata, dia takut kerana motosikal ditunggang tiada cukai jalan

“Saya takut dan berpatah balik. Saya baru pulang beraya, kasihanilah saya," katanya.

Selain itu, Penunggang dan pembonceng motosikal berusia 17 tahun turut ditahan kerana cuba merempuh sekatan jalan itu.

Dua remaja lelaki itu mendakwa baru pulang beraya dengan berpakaian baju Melayu dan kurta.

 "Saya tunggang motosikal bapa saya untuk beraya di Sentul. Saya tiada lesen dan cukai jalan sudah tamat tempoh.

 "Sebab nak beraya, saya bawa saja motor ini," katanya 

 Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Nadzri Hussain berkata, sebanyak 670 kenderaan diperiksa pada operasi bermula dari 11.15 malam hingga 1.30 pagi.

“Dua pegawai dan 25 anggota polis trafik memeriksa kenderaan terutamanya motosikal ketika Ops Bersepadu ini.

“Susulan itu, 282 penunggang motosikal disaman kerana pelbagai kesalahan antaranya cukai jalan tamat tempoh, tiada lesen memandu, tidak pamerkan L atau P dan menggunakan nombor pendaftaran palsu," katanya.

 

 

 

Disiarkan pada: July 3, 2017 @ 8:56pm
d