utama

Dah jadi kes polis [METROTV]

Oleh Nabihah Kamal

"Sekumpulan lelaki serang saya dengan parang di kenduri kahwin ahli keluarga sebelum merampas telefon saya.

"Mereka masuk ke dalam Dewan Komuniti Taman Melati Gombak dan buat kecoh," kata mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Shah, 28.

Semalam, video pergaduhan sekumpulan lelaki di majlis perkahwinan itu tular di Facebook.

Menurut Shah, dalam kejadian 3 petang Sabtu lalu, beberapa individu bermain mercun di kawasan dewan yang mana berlangsungnya majlis perkahwinan adiknya sebelum sekumpulan lelaki yang berang dengan tindakan itu mengamuk dan memasuki kawasan dewan itu.

"Mereka tidak puas hati kerana mendakwa kami bising main mercun, walhal ia hanya salah faham dan bukan kami yang melakukannya.

"Ketika itu ada kira-kira 100 tetamu dan ia sangat mengejutkan kami apabila sekumpulan lelaki bermotosikal membuat bising di kawasan dewan," katanya ketika dihubungi, hari ini. 

Menurutnya, lima lelaki menghampirinya dengan bersenjatakan parang dan kerambit sebelum merampas telefon serta wang tunai RM400.

"Selepas rampas duit dan telefon, mereka masuk ke dalam dewan menyebabkan semua tetamu ketakutan," katanya yang membuat laporan di Balai Polis Setapak, semalam.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Deputi Superintendan Ramli Kasa yang mengesahkan kejadian berkata, pergaduhan itu membabitkan kira-kira 20 individu dan seorang suspek sudah ditahan, kelmarin.

"Suspek seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 30an ditahan dan polis masih menjejaki suspek lain untuk membantu siasatan.

"Susulan itu, kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata," katanya ketika dihubungi. 

 

Disiarkan pada: July 3, 2017 @ 9:59pm
d