utama

Tiada niat sakiti hati sesiapa [METROTV]

Oleh Asrizal Aris

 

"SAYA pun tak faham, kenapa saya teruk dikecam seperti buat salah besar," kata Mohd Yusri Yusof, 40, selepas rakaman videonya bermain gitar lagu raya menjadi tular sekali gus menerima pelbagai reaksi kerana didakwa hanya berlakon mengikut iringan muzik.

Mohd Yusri berkata, dia mengakui klip video itu hanya lakonan untuk simpanan keluarga serta peribadi.

Katanya, dia tidak sangka video itu menjadi tular di laman sosial, sekali gus menerima kecaman teruk daripada netizen sehingga ada pihak yang menabur fitnah terhadapnya.

"Saya boleh terima lagi jika orang nak kecam saya kerana video itu memang 'miming' sahaja, tetapi saya tidak boleh terima sehingga ada yang begitu membenci dengan membuka aib serta menabur fitnah terhadap isteri serta keluarga saya.

"Sedangkan saya hanya mahu membuat kelainan dengan merakam video menyambut tetamu sambil bermain gitar khas untuk hari raya tahun ini dan tidak berniat menyakiti hati sesiapa," katanya ketika dihubungi.

Menurut bapa kepada tiga anak itu, video berkenaan dibuat selepas mendapat sokongan daripada keluarga mentua dan rakan-rakan selain memenuhi permintaan pengikut yang sentiasa menantikan kemunculan barunya sambil bermain gitar solo.

"Kebetulan hari raya pertama itu ramai tetamu yang datang di rumah mentua, saya maklumkan pada semua yang saya mahu membuat klip video dan mereka memberi kerjasama baik.

"Sebelum ini pun banyak video saya yang dikongsi di laman sosial kerana ada peminat sendiri, tetapi tidak sangka penangan video 'miming' raya ini pula mendapat perhatian tetapi 'dihargai' dengan kecaman," katanya yang menetap di Kota Tinggi, Johor.

Menurutnya, dia mula mahir bermain gitar ketika berusia 13 tahun dan mempunyai band sendiri suatu ketika dahulu, namun kini masing-masing mempunyai kerjaya sendiri.

"Bagi mereka yang tidak mengenali saya, memang akan menghentam saya habis-habisan di laman sosial.

"Saya harap pengguna laman sosial lebih bijak untuk memberi maklum balas terhadap sebarang sebaran dan tidak biadap sehingga menjatuhkan maruah keluarga orang lain," katanya.

Video Mohd Yusri bermain gitar solo berdurasi tiga minit 13 saat itu menerima lebih 70,000 tontonan dan 1,000 perkongsian sejak ia tular mulai 27 Jun lalu.

 

Disiarkan pada: July 4, 2017 @ 10:02pm
d