utama

3 pelajar maut

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

TIGA pelajar tingkatan enam maut, tiga cedera dan dua selamat dalam kemalangan dua kenderaan di Kilometer 26 Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu, dekat Kampung Bukit Tanah, Pasir Puteh, hari ini.

Kejadian 1.25 pagi itu membabitkan Proton Iswara yang dinaiki tiga mangsa bersama seorang rakan serta Proton Persona yang dinaiki empat individu lain.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Abdul Rozak Muhamad berkata, tiga mangsa berusia 19 tahun yang maut adalah pemandu Proton Iswara, Ahmad Amirul Razali dan dua penumpang, Amir Amjad Zuhar serta Che Muhammad Syafiq Che Suriadi.

Katanya, kemalangan berlaku apabila kereta dipandu mangsa yang datang dari arah Kota Bharu ke Kuala Terengganu dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung Proton Persona.

"Akibat kemalangan itu pemandu bersama dua penumpang yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jawa Selising di Pasir Puteh, tersepit dan maut di tempat kejadian, manakala seorang rakannya cedera.

"Pemandu dan seorang penumpang Proton Persona cedera dan dua selamat. Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Tengku Anis untuk rawatan lanjut," katanya di Pasir Puteh, hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: July 5, 2017 @ 9:43am
d