utama

Terima kasih beri komen positif-Shazni [METROTV]

Oleh Asrizal Aris

"Seruling itu hadiah daripada ibu saya. Disebabkan saya terpaksa bertugas pada hari raya, saya mainkan lagu raya yang sedih kerana rindukan keluarga.

“Tak sangka boleh tular kerana banyak video saya bermain alat muzik sebelum ini," kata Shazni Shazwani Mohd Azmi, 24, pramugari Malaysia Airlines yang videonya meniup seruling lagu Bersabarlah Sayang dendangan Sanisah Huri, Ahad lalu, tular di laman sosial.

Shazni Shazwani berkata, video itu dirakam sendiri pada hari raya pertama dan dimuat naik di laman sosial Instagram miliknya pada Ahad lalu untuk ditujukan kepada rakan-rakannya yang terpaksa bertugas di Aidilfitri.

"Saya pun terkejut video saya itu sudah dikongsi di Facebook dan ramai yang menontonnya.

"Mungkin disebabkan saya memakai uniform dan memainkan lagu raya menyebabkan ramai merasakan ia unik," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut anak kedua daripada tiga beradik itu, dia bukan sahaja boleh meniup seruling malah mahir bermain piano, gitar dan dram yang selalu dimuat naik di Instagram miliknya.

"Banyak alat muzik yang saya boleh main tetapi tidaklah hebat mana. Saya bermain alat muzik pun sebagai aktiviti untuk mengisi masa lapang.

"Saya berterima kasih kepada orang ramai kerana memberi komen positif pada video yang tular itu. Tiada niat untuk publisiti pun," katanya yang menetap di Kajang, Selangor.

Video Shazni meniup seruling berdurasi 41 saat itu tular sejak Isnin lalu selepas video berkenaan dikongsi di Facebook dan menerima lebih 100,000 tontonan.

Disiarkan pada: July 7, 2017 @ 10:30pm
d