utama

Biar netizen menilai...

Oleh Asrizal Aris

 

“SAYA tidak mahu membesarkan perkara ini kerana sudah terlalu banyak penghinaan yang diterima sejak gambar wajah saya menjadi tular kira-kira sebulan lalu,” itu kata Amirul Rizwan Musa, 21, lelaki berwajah anime yang tular di laman sosial baru-baru ini.

Amirul yang lebih dikenali sebagai ‘Miyyo Rizone’ berkata, dia enggan mengulas lanjut mengenai kenyataan di laman sosial Facebook yang dimuat naik oleh seorang wanita mendakwa wajah ‘anime Miyyo Rizone’ adalah palsu dan rekaan semata-mata.

Dia mendakwa sangat tertekan dengan situasi sekarang untuk memberi sebarang penjelasan sebaliknya membiarkan netizen untuk menilai sendiri.

"Macam-macam orang dah kutuk saya termasuk kata saya menipu. Kalau saya ni penipu tak perlu lah saya jelaskan apa-apa di sini. Haters (pembenci) tetap kata mereka betul.

"Saya tak minta untuk ditularkan dan tak minta perhatian orang ramai. Bila kamu sudah publisitikan saya, sekarang nak cakap saya menipu. 

"Bagi saya masa dan ruang untuk tenangkan hati. Saya juga manusia yang punya hati dan perasaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Amirul juga enggan mengulas mengenai masalah hubungannya dengan wanita berkenaan kerana itu masalah peribadinya yang perlu diselesaikan dengan profesional dan tidak perlu disebarkan pada umum.

Semalam, wanita yang mahu dikenali ’Bella Barbie’ menjadi perhatian media sosial tempatan apabila memuat naik status di laman sosial Facebooknya yang membongkar penipuan ‘Miyyo Rizone’ dengan disertakan gambar terkini dirinya bersama pemuda berkenaan.

Dakwanya, wajah sebenar lelaki itu berbeza berbanding gambar wajah yang tular di media sosial.

Katanya, lelaki berkenaan menggunakan beberapa aplikasi penyuntingan gambar untuk mencipta imej yang menyerupai watak kartun anime untuk mendapatkan perhatian.

"Sebab itu ‘Miyyo Rizone’ tidak mahu munculkan diri apabila ada beberapa rancangan di televisyen menjemputnya ke set rakaman kerana wajahnya berbeza dengan gambar yang tular.

"Selain wajah, namanya yang didedahkan kepada media juga bukanlah nama sebenar kerana saya mengenali rapat dengannya sebelum ini.

"Saya bukan nak mengaibkan atau mahu publisiti diri sendiri, tetapi tidak mahu orang ramai terus terpedaya dengan gambar yang diedit oleh lelaki itu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, kos pembedahan yang dijalankan oleh ‘Miyyo Rizone’ yang dikatakan berjumlah hampir RM200,000 juga adalah palsu sebaliknya pembedahan itu tidak sampai RM5,000.

"Saya sendiri pernah menemani Miyyo untuk membuat pembedahan wajah di dalam negara dan saya tahu nilai sebenar kos pembedahan itu.

"Saya mengenalinya tujuh bulan lalu daripada rakan saya dan dia pernah bercerita kepada kami bahawa dia pernah menjalani pembedahan mencecah RM500,000," katanya yang enggan mendedahkan nama sebenar.

Pada 4 Julai lalu, Harian Metro memaparkan kisah Amirul yang sanggup menghabiskan hampir RM200,000 untuk menjalani pembedahan menukar wajahnya seperti watak anime.

 

Disiarkan pada: July 10, 2017 @ 3:49pm
d