utama

Angkara jantan kaki pukul

Oleh Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail

BUDAK perempuan berusia 12 tahun nekad melarikan diri dari rumah kerana sudah tidak tahan dibelasah bapanya sebelum diselamatkan seorang lelaki yang menemuinya duduk bersendirian di stesen minyak di Puchong Prima, 12.30 tengah malam, semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun itu melarikan diri dari rumah keluarganya di Pangsapuri Cempaka, Taman Puchong Prima, Puchong dan dia yang tidak ada tempat dituju membuat keputusan untuk duduk di stesen minyak itu.

Menurutnya, seorang lelaki berusia 21 tahun yang curiga dengan kehadiran kanak-kanak itu bertanya mengenai keadaan serta keluarganya.

"Kanak-kanak itu mendakwa dia melarikan diri kerana dipukul ayahnya dan takut untuk pulang kerana tidak mahu terus menjadi mangsa pukul.

"Lelaki itu kemudian menghantar kanak-kanak itu ke Balai Polis Bukit Puchong untuk tindakan lanjut," katanya.

Katanya, berdasarkan keterangan awal mangsa, dia mendakwa sering dipukul bapanya menggunakan rotan kerana kesalahan remeh dan kesan daripada kejadian itu, ada kesan calar serta luka di kedua lengan, paha, betis dan kedua kaki.

"Mangsa turut mendakwa ibunya turut melarikan diri, semalam selepas bergaduh dan dipukul suaminya.

"Kanak-kanak yang turut cedera di kepala itu dihantar ke Hospital Serdang untuk pemeriksaan lanjut," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Disiarkan pada: July 10, 2017 @ 8:06pm
d