utama

Kegembiraan bertukar tragedi

Oleh Mohammad Ishak

PELAJAR kolej berusia 17 tahun lemas ketika mandi selepas menyertai rombongan berkelah di Lata Tembakah, Hulu Besut, dekat sini, pagi hari ini.

Mangsa, Mohammad Nurhaqkim Rostam yang menuntut di sebuah kolej kemahiran swasta di Kubang Kerian, Kelantan dikatakan lemas ketika mandi di kawasan berkenaan kira-kira 10.30 pagi.

Mangsa ke kawasan perkelahan itu bersama 16 orang lagi penuntut kolej berkenaan serta seorang tenaga pengajar dan juga keluarganya.

Berikutan itu, sepasukan sembilan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah serta lima anggota Balai Bomba dan Penyelamat Jertih bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan kira-kira 12.30 tengah hari.

Bagaimanapun, mangsa yang berasal dari Parit Dato Onn di Pontian, Johor ditemui sudah meninggal dunia oleh orang ramai 1.40 tengah hari.

Mangsa dikatakan mandi di tingkat empat air terjun di kawasan itu sebelum tenggelam dan mayatnya ditemui di dasar sedalam kira-kira 1.5 meter.

Pegawai Balai Bomba dan Penyelamat Jertih, Mustafa Ismail berkata, sepasukan anggota bomba bergegas ke tempat kejadian dan pihaknya turut dibantu angota APM.

Menurutnya, mayatnya ditemui tidak jauh dari tempat dia dilaporkan tenggelam dan kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk dibawa ke Hospital Besut.

Disiarkan pada: July 15, 2017 @ 4:32pm
d