utama

Rezeki cikgu dipercepat 24 tahun

Oleh Helmy Abd Rahman

“SAYA sungguh tak sangka. Saya ada berbual dan menyatakan ingin ke Makkah. Ingatkan sembang-sembang aje.

“Malah, jika diikutkan, saya sepatutnya dijadualkan ke sana (Makkah) pada 2041. Tapi, nampaknya rezeki saya menjadi tetamu Allah tiba tahun ini...Alhamdulillah."

Itulah kata Syed Abd Hamid Syed Ali, 58, dari Kampung Teluk Ketapang, Seberang Takir, Kuala Nerus, yang ditemui di rumahnya, hari ini.

Syed Abd Hamid ditemui selepas terpilih sebagai jemaah haji tajaan Yayasan 1Ummah bagi musim haji 2017.

Beliau yang juga bekas guru kepada Penasihat Yayasan 1Ummah, Datuk Jailani Ngah, tidak sangka mendapat peluang berkenaan.

"Saya tak jangka langsung rezeki ini. Memang kami ada berbual. Saya beritahu ingin menunaikan haji.

"Kami berbual dan (saya) luahkan hasrat menunaikan haji. Saya tak sangka beliau terus menawarkan saya tempat ke Makkah menggunakan kuotanya, tahun ini," katanya.

Sementara itu, Jailani berkata, beliau menggunakan kuota miliknya untuk diberikan kepada bekas gurunya yang pernah di Sekolah Menengah Agama Batu Rakit, Kuala Nerus.

"Beliau adalah guru saya dari 1987 hingga 1989 dan yang paling saya ingati. Walaupun serius ketika mengajar, beliau pandai menyelitkan unsur jenaka menjadikan kita sebagai pelajar tidak bosan.

"Jasa dan pengorbanannya tidak dapat dibalas. Jika setakat ziarah sebenarnya tidak cukup kerana sumbangan guru secara keseluruhannya cukup besar," katanya.

Selain itu, katanya, Yayasan 1Ummah sudah menaja 386 jemaah dari seluruh Malaysia mengerjakan umrah sejak 2013.

Katanya, untuk tahun ini, masih terdapat 14 kekosongan dan pihaknya sedang mengenal pasti calon yang berkelayakan untuk mengisi kuota berkenaan.

"Objektif utama yayasan ini ialah untuk menawarkan haji dan umrah kepada bekas pemimpin masyarakat, tokoh dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang tidak berkemampuan dan belum pernah ke Makkah.

“Kita menanggung semua perbelanjaan pergi dan balik serta penginapan selama 10 hari.

“Tahun lalu contohnya, kita menghantar isteri kepada seorang jemaah yang meninggal dunia di Makkah. Kita tawarkan dia melawat kubur arwah suaminya," katanya.

Disiarkan pada: July 15, 2017 @ 8:23pm
d