utama

Suami isteri maut, 10 cedera

Oleh Ibrahim Isa

SUAMI isteri maut manakala 10 individu lain cedera apabila lima kenderaan terbabit kemalangan di Kilometer 59 Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi, 9.45 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Ashmon Bajah berkata, kejadian membabitkan lima kenderaan iaitu Toyota Caldina, Perodua Axia, Proton Iswara, Proton Exora dan Perodua Myvi.

"Hasil siasatan awal, kami dapati pemandu Toyota Caldina dari arah Sungai Rengit ke Kota Tinggi tiba-tiba hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan apabila tiba di tempat kejadian.

"Keadaan itu menyebabkan kenderaan dari arah tertentangan termasuk Perodua Axia tidak sempat mengelak menyebabkan Toyota Caldina itu bertembung dengan Perodua Axia itu.

"Suami isteri yang menaiki Perodua Axia parah kerana tidak sempat mengelak manakala kenderaan lain hanya bergesel dengan dua kenderaan itu," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, pasangan berkenaan yang berasal dari Felda Pengeli Timur meninggal dunia, manakala 10 pemandu dan penumpang lain hanya cedera ringan dan dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk mendapatkan rawatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai dinasihatkan berhati-hati ketika memandu di kawasan gelap, katanya.

Difahamkan, mayat pasangan dikenali sebagai Jamaludin Chemin, 56, dan isterinya, Maimunah Abd Wahab, 52, dibawa ke rumah mayat Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat.

Disiarkan pada: July 17, 2017 @ 8:53am
d