utama

[UPDATE] 160 kotak daging babi

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

SEBANYAK 160 kotak daging babi disusun secara bercampur dengan 1,142 kotak daging kambing pada kontena pertama sekali gus membuktikan pengusahan tempatan produk sejuk beku itu sah melanggar syarat permit yang hanya membenarkan mereka mengimport daging kambing dari Australia.

Itu hasil pemeriksaan oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) selepas menyita empat kontena dipercayai satu daripadanya berisi daging babi bercampur daging kambing dibawa masuk dari Sepanyol dalam serbuan di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Johor seperti dilaporkan portal berita Harian Metro, semalam.

Pengarah MAQIS Johor/Melaka, Siti Nur Ahmad berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) juga sudah diminta menyiasat status import pengusaha tempatan itu berkenaan perakuan logo halal.

Katanya, selain daging babi, kontena terakhir syarikat itu dipercayai mengimport paru lembu dari negara lain iaitu Brazil.

“MAQIS juga akan mengenakan tindakan atas kesalahan pintu masuk mengimport tanpa permit mengikut Seksyen 11 (1) Akta MAQIS 2011.

"Hasil pemeriksaan awal, MAQIS menemui 160 kotak daging babi disusun secara bercampur dengan 1,142 kotak daging kambing pada kontena pertama, selain kira-kira 30 tan daging kambing masing-masing pada kontena kedua dan ketiga, manakala kontena terakhir dipercayai mengandungi paru lembu yang diimport dari Brazil.

"Bagaimanapun, kontena ini disahkan mempunyai permit untuk membawa hanya daging kambing dari Australia dan tiada permit untuk membawa daging dari negara lain.

"Kita mendapati, hanya satu sahaja yang mengikut spesifikasi permit dan peruntukan akta iaitu kontena ketiga, manakala tiga lagi tanpa permit import yang sah daripada MAQIS,'' katanya.

Menurutnya, pihaknya akan menghantar sampel daging itu ke makmal veterinar di Salak Tinggi, Selangor untuk membuat pengesahan bahan.

Katanya, proses itu mengambil tempoh dua minggu, selain menjalankan siasatan bagi mendapatkan penjelasan pengusaha tempatan yang beroperasi di Serdang, Selangor itu.

"Sekiranya keterangan mencukupi selepas siasatan dijalankan, kita boleh mendakwa pengimport dengan izin bertulis dari pendakwa raya mengikut seksyen berkenaan kerana mengimport tanpa karkas dan permit yang sah selain Seksyen 13 akta sama kerana memberi permit atau perakuan palsu dalam pengimportan.

"Jika sabit kesalahan, pengimport boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya," katanya.

Disiarkan pada: July 18, 2017 @ 5:39pm
d