utama

CEO, ketua bahagian ZPP dituduh rasuah

Oleh Muhammad Yusri Muzamir

KETUA Pegawai Eksekutif merangkap Pengurus Besar Zakat Pulau Pinang (ZPP) Datuk Azman Abdul Samat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini, atas tiga pertuduhan menerima suatu barangan berharga tanpa balasan, antara 2010 hingga 2015.

Azman, 50, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Sitarun Nisa Abdul Aziz.

Mengikut pertuduhan, Azman didakwa menerima jam tangan jenama Bonia Tesoro bernilai RM700 daripada individu yang mempunyai hubungan dengan kerja rasminya iaitu pemilik syarikat MNI Venture, Ros Suriyati Alang di kediamannya No 1048 Mukim 2 Permatang Rambai, di Permatang Pauh, pada 2010.

Bagi pertuduhan kedua, Azman didakwa menerima jam tangan jenama Tissot Touch bernilai RM2,000 daripada individu yang mempunyai hubungan dengan kerja rasminya iaitu pemilik syarikat Al Global Trading, Ashari Ismail di Pejabat ZPP di No 4 Jalan Perda Selatan, Bukit Mertajam antara 2011 hingga 2015.

Seterusnya, Azman didakwa menerima jam tangan jenama Roscani Paris bernilai RM750 daripada individu yang mempunyai hubungan dengan kerja rasminya iaitu pemilik syarikat Safa Murni Enterprise, Zaiyusri Ibrahim di kedai makanan berhampiran Pejabat ZPP dalam Daerah Seberang Perai Tengah pada 2015.

Bagi setiap pertuduhan, Azman didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sitarun Nisa kemudian membenarkan Azman dijamin RM1,500 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan selain menetapkan 21 Ogos depan bagi sebutan semula kes.

Dalam pertuduhan berasingan, Ketua Bahagian Pengurusan Pembangunan Kualiti Asnaf Dan Ekonomi ZPP Mohd Wardi Ramli, 35, turut mengaku tidak bersalah atas tuduhan menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan daripada kontraktor antara 2015 hingga 2016.

Disiarkan pada: July 19, 2017 @ 4:50pm
d