utama

Kasih teragut sekelip mata

Oleh Raja Noraina Raja Rahim dan Khairul Najib Asarullah Khan

Tampin: Suasana sedih menyelubungi lokasi kemalangan apabila seorang anggota tentera mencium isterinya yang tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki terbabit dalam kemalangan dengan sebuah van pekerja di Jalan Air Kuning-Batang Melaka, dekat Gemencheh, semalam.

Lebih menyedihkan apabila ciuman itu bukan saja yang terakhir buat isterinya, Zubaidah Mahmood, 44, malah Koperal Mohd Hafhizuddin Mohd Halim, 32, turut kehilangan anak perempuan Nur Rufaidah Izzati berusia 22 bulan dalam kemalangan sekitar jam 1.55 tengah hari.

Turut terbunuh dalam kemalangan itu pemandu van pekerja Mohamad Rosdi Musa, 28. Zubaidah dan anaknya meninggal di lokasi kejadian manakala Mohamad Rosdi meninggal di Hospital Tampin akibat cedera parah di kepala dan badan.

Menceritakan detik itu, Mohd Hafhizuddin berkata, dia menerima panggilan kecemasan beberapa minit kemudian sebelum bergegas ke lokasi.

“Sebaik tiba, saya melihat isteri dan anak tersepit di tempat duduk pemandu. Saya tidak dapat bayangkan keadaannya ketika itu sebelum dibantu orang ramai mengeluarkannya.

“Apabila keluar, saya melihat dia dalam keadaan tidak sedarkan diri. Kali terakhir saya bersua dengan arwah pagi tadi (semalam) ketika mahu keluar ke tempat kerja.

“Sebelum ke tempat kerja saya sempat memandikan Nur Rufaidah Izzati. Tapi, sebaik selesai mandikannya, dia (Nur Rufaidah) mahu mengikut saya ke tempat kerja.

“Tapi, saya memberitahunya akan pulang cepat sebelum dia mengalah,” katanya yang juga guru agama kem Tentera Syed Sirajuddin di Gemas.

Menurutnya, kejadian berlaku ketika isteri bersama dua anak termasuk anak tiri perempuan berusia 23 tahun memandu Nissan Serena dalam perjalanan pulang ke Gemas selepas menghantar seorang lagi anak tiri belajar di Melaka.

“Kemalangan itu mengakibatkan anak tiri lelaki cedera dan dikejarkan ke Klinik Kesihatan Gemencheh manakala jenazah isteri dan anak perempuan dibawa ke Hospital Tampin.

“Saya tidak tahu apa hendak diperkatakan selepas kehilangan dua insan tersayang serentak. Saya reda dengan kejadian ini, jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tiong, Gemas, 10 malam ini (malam tadi),” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tampin berkata, kemalangan yang turut mencederakan tiga lain berlaku apabila MPV dalam perjalanan dari arah Batang Melaka ke Air Kuning Selatan dipercayai terbabas sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan van.

Beliau berkata, kemalangan itu mengakibatkan pemandu wanita dan pemandu van tersepit manakala lima lagi mangsa berjaya dikeluarkan orang awam.

“Wanita terbabit dan anak perempuannya disahkan meninggal dunia di lokasi manakala pemandu van meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tampin,” katanya sambil memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: July 20, 2017 @ 10:02am
d