utama

'Bijok boh...' [METROTV]

Oleh Nurul Huda Kosnon

"KENDERAAN ini hanya untuk kegunaan saya dan rakan lain di sekitar Pantai Bukit Keluang, Besut.

“Apa yang saya lakukan hanyalah mengubah suai barangan lama kepada sesuatu yang boleh digunakan,” kata Mohd Hafizan Zakaria, 30, yang mengubah suai 'basikal motor' menggunakan enjin Honda C70 dengan menggunakan petrol bersama 15 rakannya.

Gambar ‘basikal motor’ itu turut tular di laman sosial, semalam.

Menurutnya, dia tidak menyangka gambar yang dimuat naik oleh seorang rakannya, Rusda Ifitri Hazmi,36, di Facebook miliknya menggunakan nama Nur Fitri Damia akan tular di laman sosial.

Katanya, idea untuk berbuat demikian muncul selepas dimaklumkan dua rakannya, Mohd Azizi Radhi, 19 bersama abangnya, Mohd Azuan Radhi , 27, ketika melihat basikal BMX tersadai di rumahnya baru-baru ini.

"Ia mempunyai kelajuan sehingga 60 kilometer sejam dan dicipta menerusi gabungan separuh motosikal dan basikal.

“Saya dan rakan hanya menggunakannya termasuk untuk bersiar-siar serta keperluan kerja di sekitar pantai ini,” katanya yang juga pengendali aktiviti sukan air, 'banana boat' di Pantai Bukit Keluang.

Katanya, pembikinan ‘basikal motor’ itu mengambil masa dua minggu dengan kos sebanyak RM2,000.

"Semua ini dibuat supaya barangan lama dapat digunakan semula dan memberi manfaat.

"Daripada basikal itu terbuang disebabkan sudah lama, mengapa tidak kami ciptakan sesuatu yang dapat digunakan semula...inilah hasilnya.

"Ramai juga yang mengecam termasuk mengaitkannya dengan undang-undang dan faktor keselamatan namun ia dibuat hanya sekadar suka-suka selain digunakan di satu-satu kawasan sahaja," katanya.

Katanya, apa yang dilakukan itu juga kerana minat dan hobi untuk mencipta kelainan serta sesuatu yang baru.

"Mungkin ia juga dapat menjadi aspirasi kepada generasi muda pada hari ini terutama membabitkan reka cipta,” katanya.

Disiarkan pada: July 20, 2017 @ 11:00pm
d