utama

Doakan Aqmal, semoga segera pulang

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Budak lelaki berusia 11 tahun dikhuatiri hilang selepas keluar dari Pusat Tahfiz Al Azizah, Taman Keramat, Kuala Lumpur, 2 petang, semalam.

Menurut ibunya, Nor Laily Zakaria, 37, anak sulungnya, Aqmal Khaleq Firman Hasani, hilang bersama seorang lagi rakan lelaki berusia 13 tahun.

Katanya, kehilangan mereka disedari seorang ustaz sebelum memulakan kelas apabila menyedari kedua-dua pelajar berkenaan tidak berada di kelas.

"Sebaik dimaklumkan oleh pihak pengurusan pusat tahfiz berkenaan mengenai kehilangan anak, kami terus cuba mencari di kawasan sekitar.

"Sehingga jam 12 tengah malam tadi, kami masih belum menemui mereka walaupun usaha mencari diluaskan sehingga ke Cheras, Kuala Lumpur," katanya.

Berita kehilangan Aqmal menjadi tular di WhatsApp sejak malam tadi yang mengaitkan kejadian itu sebagai kes culik.

Bagaimanapun, Nor Laily menafikan dakwaan itu dan percaya Aqmal dan rakannya tidak diculik, sebaliknya hanya menghilangkan diri.

"Saya menafikan kehilangan mereka berkaitan dengan kes culik seperti yang tular di WhatsApp.

"Saya percaya mereka hanya menghilangkan diri dan merayu supaya mereka pulang semula ke rumah," katanya yang memaklumkan pihaknya belum membuat laporan polis berikutan kehilangan Aqmal Khaleq belum sampai 24 jam.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai anaknya diminta tampil ke balai polis berhampiran.

Disiarkan pada: July 21, 2017 @ 12:19am
d