utama

Enam sekeluarga direman seminggu [METROTV]

Oleh Mohd Hilmie Hussin

TIGA lelaki dan tiga wanita direman tujuh hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan berkaitan penemuan mayat bayi berusia enam hari dalam perigi di Kampung On Lok, Batang Melaka, Jasin, semalam.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Suzanna Mokhtar di Mahkamah Jasin, hari ini.

Terdahulu, keenam-enam suspek tiba di perkarangan Mahkamah Jasin kira-kira 9 pagi.

Semua enam suspek berusia antara 20 hingga 30 tahun termasuk ibu dan bapa bayi itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Semalam, mayat bayi ditemui orang awam dalam perigi di kampung itu pada 6.30 petang dan berjaya dikeluarkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kira-kira 10.30 malam.

Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintendan Arshad Abu berkata, pihaknya kini menunggu laporan bedah siasat dari Hospital Melaka.

Disiarkan pada: July 24, 2017 @ 11:17am
d