utama

Sambutan wira buat skuad terjun [METROTV]

Oleh Asrizal Aris

SERAMAI 400 penyokong memberi sorakan serta sambutan meriah terhadap skuad terjun negara diketuai pemenang pingat emas Cheong Jun Hoong pada Kejohanan Akuatik Dunia (FINA) 2017 sebaik tiba dari Budapest Hungary di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, hari ini.

Kepulangan skuad terbabit turut disambut Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin ketika lapan atlet tiba ke Pentas Tingkat 5, KLIA pada jam 4.15 petang.

Jun Hoong menyumbang pingat emas acara terjun 10 meter (m) platform individu wanita manakala Pandelela Rinong menghadiahkan pingat gangsa bagi acara 10 meter platform seirama gandingan bersama Jun Hoong.

Khairy dalam ucapannya menyatakan rasa bangga kepada pasukan negara yang membawa pulang satu emas dan satu gangsa dalam temasya yang berakhir Sabtu lalu.

Menurutnya, dia memaklumkan pihaknya akan membina kolam renang latihan khas untuk atlet sukan terjun di Bukit Jalil.

"Kita harap majlis sukan negeri akan membuat pelaburan untuk industri sukan di negeri masing-masing seperti menyediakan fasiliti dan pusat latihan bagi mengambil alih atlet seperti Jun Hoong dan Pandelela.

"Perancangan dan cabaran kita sekarang adalah tumpuan pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dan saya turut meluahkan rasa bangga kerana negara kita berjaya melahirkan empat juara dunia dalam masa empat bulan.

"Kita akan memperuntukkan insentif untuk diberikan kepada semua juara dunia tetapi kita akan umumkan selepas temasya Sukan SEA," katanya.

Sementara itu, Jun Hoong berkata, dia tidak tertekan dengan gelaran juara dunia untuk menghadapi temasya Sukan SEA tidak lama lagi dan akan kembali kepada kosong supaya konsisten pada latihan.

"Meskipun terpaksa bergelut dengan kecederaan belakang, saya yakin untuk pulih semula walaupun bukan 100 peratus bagi menghadapi Sukan SEA.

"Pencabar terdekat adalah diri saya sendiri kerana gelaran hanya sekadar gelaran. Penerjun negara yang lain juga sudah pasti mensasarkan emas untuk negara," katanya.

Disiarkan pada: July 24, 2017 @ 6:14pm
d