utama

Askar baik hati

Oleh Ridhatul Rizki

“SAYA percaya kalau kita berbuat baik, pasti akan dibalas dengan kebaikan juga. Saya tidak kisah jika ada yang menganggap pelancong itu cuba menipu atau mempergunakan saya, saya ikhlas membantu mereka.”

Begitulah kata Muhammad Hafizizaudin Dalis Din, 21, sanggup menghantar pelancong Perancis sejauh 87 kilometer dari Kluang ke Mersing, Johor, Selasa lalu.

Muhammad Hafizizaudin yang bertugas sebagai prebet di Tiga Rejimen Askar Melayu DiRaja (RAMD), Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu, Sabah berkata, dia sedang bercuti di kampung halaman di Kluang ketika bertemu dengan pelancong terbabit.

“Saya mempunyai masa terluang. Kebetulan saya baru pulang dari bank di sekitar bandar Kluang sebelum terlihat pelancong terbabit sedang berjalan ketika cuaca panas terik. Saya pun hentikan kereta, tegur mereka dan bertanya mereka mahu ke mana.

“Mereka kata mahu ke Mersing tetapi terlepas menaiki bas. Pada mulanya saya berniat menumpangkan mereka ke hujung simpang tetapi memandangkan saya mempunyai masa terluang, jadi apa salahnya saya menghantar mereka terus ke Mersing,” katanya.

Menurutnya, mereka tidak berbual banyak sepanjang perjalanan kurang dua jam terbabit. Namun, dua pelancong itu memberitahu bahawa mereka sedang bercuti selama 15 hari di Malaysia.

“Pelancong itu bukan suami isteri. Mereka hanya rakan dan kedua-duanya adalah guru. Kata mereka, di Perancis sekarang sedang cuti persekolahan,” katanya.

Kisah Muhammad Hafizizaudin itu tular selepas dia memuat naik gambar di Facebook pada hari sama dan ceritanya dikongsi lebih 600 kali.

Ia turut menerima pelbagai reaksi netizen yang rata-rata memuji tindakannya.

Bagaimanapun, ada segelintir yang berpendapat Muhammad Hafizizaudin telah ditipu oleh pelancong terbabit.

“Biarlah jika mereka tipu saya. Yang penting niat saya baik membantu mereka. Bayangkan jika saya pula ke luar negara dan sedang di dalam kesusahan, mungkin penduduk di sana pula yang sudi membantu saya,” katanya.

Disiarkan pada: July 27, 2017 @ 10:01pm
d