utama

Maut ditembak ketika memandu

Oleh Mohammad Ishak

PEMBORONG ikan maut selepas ditembak di Pantai Teluk Bayu, Kuala Besut, hari ini.

Kejadian berlaku pada 8.15 malam apabila mangsa, Wan Ahmad Wan Nawang, 68, yang sedang memandu kereta dari Kuala Besut dihampiri dua lelaki menaiki sebuah motosikal.

Seorang daripada lelaki yang berada di atas motosikal Yamaha 135LC itu dipercayai melepaskan dua das tembakan hingga mengenai mangsa.

Berikutan itu, kereta dipandu mangsa terbabas ke tepi jalan sebelum melanggar tiang elektrik hingga patah.

Difahamkan, rakan mangsa yang turut berada dalam kereta berkenaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Menurutnya, selepas kejadian itu, mangsa dikejarkan ke Klinik Kesihatan Kuala Besut tetapi disahkan sudah meninggal dunia.

Katanya, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Besut untuk proses bedah siasat.

Disiarkan pada: July 27, 2017 @ 11:51pm
d