utama

'Soal mati jangan buat main boh...' [METROTV]

Oleh Rosli Ilham

POLIS bantuan terkejut apabila menerima surat daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri LHDN) menyatakan dia sudah meninggal dunia.

Surat itu turut meminta lelaki berkenaan, Amran Mohamed, 45, menjelaskan baki hutang sebanyak RM1,728.50 kepada agensi terbabit.

Amran dari Taman Murni, Paka, dekat Dungun, berkata, surat bertarikh 25 Julai itu diterima isterinya, Zakiah@Normah Sulong, 43, semalam.

"Surat itu ditandatangani oleh pegawai Unit Pungutan LHDN Terengganu dan meminta isteri menjelaskan baki hutang saya yang tertunggak.

"Saya amat terkejut selepas menerima surat itu yang menyatakan saya sudah meninggal dunia sedangkan tiada apa-apa pun yang berlaku," katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.

Amran yang bertugas sebagai polis bantuan di sebuah syarikat minyak dan gas berkata, dia tidak pernah mengabaikan soal pembayaran cukai pendapatan.

"Setiap bulan cukai pendapatan saya dipotong dan majikan membuat bayaran kepada LHDN.

"Saya pelik kenapa pihak LHDN melakukan kesilapan sebegitu sedangkan nama saya dan isteri serta alamat yang ditujukan adalah tepat," katanya.

Menurutnya, dia tidak membuat laporan polis kerana menganggap ia satu kesilapan dilakukan LHDN.

"Saya harap perkara sebegini tidak lagi berulang pada masa akan datang terhadap diri saya dan orang lain.

"Soal mati jangan dibuat main boh," katanya.

Disiarkan pada: July 28, 2017 @ 2:53pm
d