utama

Sudah lebih 15 jam tanpa khabar

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

BOT Sea Wonder yang membawa tiga krew dan 12 pemancing gagal dihubungi pemiliknya sejak kira-kira 4 petang semalam.

Bot berkenaan dilaporkan berlayar dari Jeti Kampung Goebilt di Muara Tebas, Kuching, pada kira-kira 1 tengah hari.

Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim Kuching, Kapten Maritim Shahref Steve Mac Queen Abdullah, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kehilangan berkenaan dari pemiliknya pada 8.15 malam tadi.

Menurutnya, pemilik mengesyaki botnya mengalami kerosokan dan gagal dihubungi sejak petang semalam.

Katanya, kali terakhir dihubungi, bot berada pada kedudukan 82 batu nautika timur laut Tanjung Po.

"Berdasarkan laporan yang diterima, APMM mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dan menghantar kapal ke lokasi terakhir bot ditemui.

"Sehingga ini, APMM masih belum menerima senarai pemancing yang menaiki bot itu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Shahref berkata, operasi SAR masih belum menemui sebarang petunjuk mengenai kehilangan bot berkenaan.

Katanya, orang ramai yang mengetahui ahli keluarga atau kenalan yang menaiki bot Sea Wonder untuk memancing diminta menghubungi Pusat Operasi Maritim APMM Wilayah Sarawak di 082-432544.

"Sebarang perkembangan mengenai operasi akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," katanya.

Disiarkan pada: July 29, 2017 @ 9:07am
d