utama

Semoga Angah cepat sembuh [METROTV]

Oleh Muhamaad Razis Ismail

“ALLAH SWT akan sentiasa lindungi dan ada penawar untuk Angah sembuh.” Itu antara yang setiap hari dibisikkan Mohd Izahir Kassim, 49, ke telinga anaknya, Muhammad Faiz Hafizuddin, 17, yang terbabit dalam kemalangan di Kampung Telekong, Kuala Krai sehingga meragut tujuh nyawa pada 2 Jun lalu.

Dalam kemalangan itu, Muhammad Faiz koma akibat parah termasuk pendarahan di kepala, kecederaan paru-paru dan patah tulang belakang dibawa ke Hospital Kuala Krai sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kota Bharu untuk rawatan lanjut.

Mohd Izahir berkata, kini keadaan anak kedua daripada lima beradik itu separuh sedar dan masih bergantung kepada alat bantuan pernafasan.

Bagaimanapun katanya, berbanding ketika mula-mula dihantar ke HUSM, Muhammad Faiz Hafizuddin yang dipanggil Angah sudah menunjukkan perkembangan positif.

"Saya kena kuat demi anak. Sebelum ini, selama lima minggu dia koma dan dalam tempoh itu, saya tidak pernah berhenti berdoa serta berharap supaya keadaan anak saya kembali pulih.

"Dalam masa yang sama saya sering memuat naik status di laman sosial Facebook kerana mengharapkan doa daripada masyarakat supaya Angah sihat seperti sedia kala.

"Alhamdulillah kini, berkat doa kami sekeluarga dan masyarakat yang prihatin, anak saya semakin pulih dan menunjukkan perkembangan positif.

"Dia juga sudah mampu menggerakkan tangan dan memberi tindak balas ketika kita berkomunikasi dengannya, biarpun masih bergantung dengan mesin oksigen," katanya ketika ditemui Harian Metro di HUSM, hari ini.

Harian Metro pada 3 Jun lalu melaporkan, van yang membawa 12 pelajar tahfiz untuk ke program tafsir dan bacaan al-Quran di Kota Bharu, terbabas lalu merempuh sebuah rumah di tepi jalan.

Rempuhan itu juga menyebabkan tujuh pelajar yang juga rakan Muhammad Faiz Hafizuddin berusia antara 14 hingga 18 tahun maut dengan lima meninggal dunia di tempat kejadian.

Mohd Izahir menggambarkan anak syurganya itu sebagai seorang anak yang amat menghormati ibu bapa dan menjadi harapan kepada keluarga.

"Sejak usianya tiga tahun lagi, dia sudah menunjukkan minat mendalam terhadap al-Quran dan juga bercita-cita menjadi Huffaz. Dia mahu bantu melahirkan lebih ramai pelapis di masa hadapan," katanya.

Dia masih berharap impian anaknya tercapai walaupun mengambil masa lama memandangkan keadaan Muhammad Faiz Hafizuddin ketika ini.

Malah, HUSM sudah menjadi rumah pertamanya sejak kejadian itu kerana dia perlu sentiasa berada di sisi anaknya.

"Saya terpaksa korbankan kerja saya sebagai pengawal keselamatan untuk menjaga segala keperluan Angah selama 24 jam di sini.

"Bagaimanapun, saya bersyukur rezeki tidak pernah putus apabila Pengasas Maahad Tahfiz Al-Hashimi, Tualang itu Datuk Adnan Hashim dan orang ramai banyak membantu meringankan beban saya dan keluarga," katanya.

Disiarkan pada: July 30, 2017 @ 10:00pm
d