utama

Bukan cabar sesiapa

Oleh Ramlah Zainal

Sejak di bangku sekolah dia minat menyanyi. Malah, pernah menyertai pelbagai pertandingan nyanyian termasuk uji bakat program realiti Akademi Fantasia musim ketujuh tetapi nasib tidak menyebelahinya ketika itu.

Selepas sekian lama menanti, impian Nazrief Nazri, 26, bergelar penyanyi kesampaian apabila diterima bernaung di abwah pengurusan Mind Order Sdn Bhd.

Ternyata pertaruhan single pertama berjudul Cinta Semalam ciptaan sepenuhnya Room None dan susunan muzik oleh Harry Khalifah mendapat sambutan memberangsangkan.

Walaupun video muzik lagu Cinta Semalam baru saja dimuat naik di laman YouTube pada akhir Jun lalu, ia sudah ditonton 217,000 pelayar Internet setakat ini.

Ramai memuji vokal Nazrief hingga ada membandingkannya dengan bintang sensasi Fattah Amin yang popular dengan lagu Wanita Terakhir.

Pada sesi fotografi diatur bersama RAP baru-baru ini, Nazrief mengakui kurang selesa dibandingkan dengan vokal Fattah.

“Saya dan Fattah memiliki cara nyanyian dan muzik berbeza.

“Sebagai persediaan, saya mengikuti latihan vokal dengan penyanyi Bob Yusof (AF2) sebelum merakamkan single Cinta Semalam ini.

“Saya sudah kenal Fattah sejak zaman Hero Remaja 2011/2012 dan kami tiada sebarang masalah.

“Oleh itu, saya tidak mahu ada sebarang konflik antara kami apabila ada pihak cuba membandingkan vokal pula,” katanya.

Nazrief berkata, dia muncul dengan single Cinta Semalam bukan untuk mencabar mana-mana artis termasuk Fattah.

“Saya mempertaruhkan single Cinta Semalam untuk memenuhi impian bergelar penyanyi sekali gus mengembangkan kerjaya seni.

“Sebagai penyanyi baru, saya bersyukur apabila single pertama diterima peminat,” katanya.

Teruskan karier lakonan

Tiga tahun mencanai bakat sebagai pelakon, Nazrief antara yang mencuri perhatian ramai ketika ini.

Malah, tawaran berlakon tidak pernah putus diterima Nazrief yang dikenali menerusi drama Nasi Minyak Kuah Cinta dan Lara Terindah ini.

Menurut Nazrief, dia juga merancang mengembangkan cabang seni diceburi ketika ini.

“Walaupun sudah bergelar penyanyi, saya akan teruskan karier lakonan seperti biasa.

“Selain itu, saya juga mula berjinak-jinak dalam bidang pengacaraan dengan mengendalikan program Buletin 113 untuk Salam HD.

“Bukan tamak merebut semua tawaran yang datang tetapi saya percaya ia adalah rezeki dan peluang keemasan yang tidak boleh dilepaskan,” katanya.

Selain itu, Nazrief baru selesai penggambaran drama bersiri sebanyak 26 episod berjudul Air Mata Di Bumi Matador di Sepanyol.

Nazrief bergandingan dengan Puteri Aishah, Ben Amir, Shakila Khoriri dan Eyka Farhana dalam drama untuk saluran RTM itu.

Selain itu, dia turut menjayakan penggambaran beberapa telefilem termasuk drama Bila Nogori Jumpa Kelate.

Manakala, Telefilem lakonannya Suamiku Jurumekap bersiaran di saluran HyppTV.

Beralih sisi peribadinya pula, kata Nazrief, buat masa ini fokusnya untuk mengukuhkan nama dan belum terbuka hati untuk bercinta.

“Saya akui tiada teman istimewa lagi. Selain itu saya menjaga ibu yang kurang sihat dan mengalami kemurungan enam bulan selepas bercerai.

“Sebagai anak tunggal, saya ada tanggung jawab besar untuk menjaga ibu dan membawanya tinggal bersama saya di Kuala Lumpur,” katanya.

Disiarkan pada: August 3, 2017 @ 3:00am
d