utama

[UPDATE] Allahyarham Syed Mohd Fazril suka membantu

Oleh Siraj Mohd Zaini

BAPA mangsa bunuh, Syed Mohd Fazril Syed Mohd Ridhuan, 23 menyifatkan anaknya mudah menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan selain taat kepada ibu bapa.

Syed Mohd Ridhuan Syed Mohd Agil, 55, berkata, arwah sangat baik orangnya malah sanggup membantu kawannya yang tiada kerja untuk tinggal dan kerja bersamanya di pusat penyembelihan ayam itu.

Menurutnya, anak ketiga daripada lima beradik itu juga mempelawa arwah bapa saudaranya untuk kerja bersamanya sebagai pengawal keselamatan di premis berkenaan.

Katanya, arwah disifatkan sebagai anak yang taat kepada ibu bapa dan kali terakhir mereka berjumpa pada sambutan Syawal bulan lalu.

"Saya tak kenal kawan arwah yang dipercayai suspek utama kejadian ini. Saya berjumpa lelaki itu pun pada hari raya bulan lalu ketika arwah membawanya.

"Arwah adalah pekerja kesayangan majikannya. Dia pun tak pernah merungut soal duit.

"Abang sulung arwah pernah menasihatkan arwah jangan berkawan dengan lelaki itu kerana disyaki penagih dadah," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara hari ini.

Syed Mohd Ridhuan berkata, pada 31 Julai lalu, majikannya menyerahkan duit gaji arwah kepada lelaki itu.

"Saya tidak pasti apa yang terjadi. Selasa lalu saya telefon dia tak berangkat, mesej juga tidak berbalas.

"Isteri saya pergi ke premis itu untuk hantar makanan, tapi berkunci, kereta arwah pun tiada. Saya ingat arwah keluar," katanya.

Syed Mohd Fazril dan bapa saudaranya Wan Amir Abu Hassan, 48, ditemui mati dengan kesan tetakan di seluruh badan di dalam sebuah bilik di pusat penyembelihan ayam di Jalan Bukit Kuda, Kampung Kuantan, Klang, pada 1 tengah hari, hari ini.

Kedua-dua mangsa hanya dapat dikesan selepas seorang jiran yang tinggal bersebelahan dengan premis itu terhidu bau busuk.

Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner Mazelan Paijan berkata, kedua-dua mangsa dipercayai dibunuh kira-kira dua hari lalu berdasarkan keadaan fizikal mayat.

Disiarkan pada: August 3, 2017 @ 11:33pm
d