utama

Mungkin hijrah ke Malaysia

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Nama pelakon Hannah Delisha kini mula menjadi sebutan di Malaysia.

Selain itu, pelakon asal Singapura ini juga kini mula dirisik beberapa jenama produk kecantikan sebagai duta.

“Alhamdulillah, ada beberapa tawaran yang saya terima daripada produk kecantikan, tetapi ada beberapa aspek perlu saya lihat terlebih dahulu.

“Kulit wajah saya sangat sensitif. Jadi, saya perlukan produk yang boleh saya sendiri gunakan dan sesuai dengan kulit saya,” katanya.

Ditanya mengenai penjagaan penampilan, Hannah sememangnya memberi penekanan dari sudut itu.

“Saya memang sangat menjaga penampilan kerana sebagai artis, itu adalah perlu. Baru-baru ini, saya dijemput memeriahkan majlis pelancaran lokasi untuk satu jenama dari Malaysia.

“Tetapi, ia sebagai jemputan saja dan bukanlah sebagai duta atau apa. Namun, jika ada tawaran yang sesuai dalam masa terdekat, saya akan berbincang dengan pihak pengurusan dan mungkin akan terima,” katanya.

Ditanya mengenai kerjayanya di Malaysia, Hannah memaklumkan berkemungkinan besar akan berhijrah ke sini.

“Saya akan lihat bagaimana perkembangan kerjaya saya di Malaysia. Kalau memuaskan, saya akan terus memberi tumpuan kepada kerjaya di sini.

Dia juga meluahkan rasa syukur kerana namanya kini diterima baik selepas kemunculannya menerusi drama bersiri Mencintaimu Mr Photographer.

“Saya sendiri tak sangka yang drama itu akan mendapat sambutan sehingga sebegitu rupa memandangkan ia adalah projek pertama saya di Malaysia yang boleh dikatakan, berskala besar.

“Alhamdulillah, ramai memberikan respons positif. Saya anggap ini sebagai rezeki dan faedah untuk masa depan karier saya juga.

“Dalam mengatur langkah dan strategi, kita tak boleh terus terima tawaran berlakon dengan mudah, tapi perlu rancang satu persatu dengan sebaik mungkin,” katanya.

Pada bulan ini, Hannah akan terbabit dalam pembikinan filem pertama lakonannya.

“Insya-Allah, saya akan terlibat dalam filem romantik seram arahan Osman Ali. Ini masanya untuk saya terus terokai dunia lakonan selagi ada peluang,” katanya.

Di Singapura, namanya tidak lagi asing dan pernah membintangi sembilan drama bersiri dan pernah menghasilkan single sebagai penyanyi solo berjudul Anugerah.

Disiarkan pada: August 4, 2017 @ 2:11am
d