utama

Shah Iskandar mahu sembang

Oleh Ramlah Zainal

Selepas berkahwin, nama pelakon kelahiran Singapura, Shah Iskandar agak kurang kedengaran di persada hiburan tanah air.

Kelibatnya juga sudah jarang dilihat dalam majlis ataupun acara membabitkan dunia hiburan sejak kebelakangan ini.

Secara peribadi, pemilik nama sebenar Shah Iskandar Mahfuz, 35, mengakui dirinya kurang publisiti selepas berumah tangga.

“Selain kurang publisiti di akhbar dan majalah, saya juga jarang berinteraksi di media sosial dan kurang hadir dalam acara hiburan.

“Selepas bergelar suami, saya juga ingin fokus pada rumah tangga dan karier seni supaya seimbang,” katanya.

Bagaimanapun, Shah bersyukur kerana tawaran berlakon tidak pernah putus cuma dia perlu meneliti mana yang sesuai.

“Alhamdulillah, saya masih mendapat kepercayaan produser mahupun pengarah drama,” katanya kepada BLING!

Ditanya sama ada dia sudah bataskan watak untuk menjaga hati isteri, Shah pula menafikannya.

“Saya bertuah kerana dianugerahkan isteri yang paling memahami karier seni diceburi.

“Isteri cukup faham, saya akan menjadi ‘moody’ kalau tidak dapat watak yang saya mahukan dalam sesebuah projek drama itu,” katanya.

Mengulas mengenai rumah tangga pula, kata Shah, mereka bahagia selepas lebih setahun berkahwin.

Malah, Shah dan isteri baru saja kembali dari bercuti di Bangkok, Thailand sempena meraikan ulang tahun pertama perkahwinan mereka.

Shah berkahwin dengan wanita pilihan hatinya, Siti Sarah Mohd Noor pada 16 Januari 2016.

“Kami tidak merancang dalam soal cahaya mata ini dan hanya serahkan kepada ketentuan Allah SWT.

“Memang kami sudah bersedia untuk membina keluarga tetapi nampaknya belum ada rezeki lagi untuk mendapat anak.

“Kami juga banyak meluangkan kualiti masa bersama dan jika ada kelapangan, kami akan bercuti serta berbulan madu untuk mengeratkan hubungan suami isteri,” katanya.

Watak antagonis Dendam Aurora

Pelakon yang dikenali menerusi drama bersiri Syurgaku Tak Sempurna yang bersiaran di Hypp Sensasi ini kembali dengan watak antagonis dalam drama bersiri 100 episod Dendam Aurora terbitan Global Station Sdn Bhd.

Dalam drama adaptasi telenovela Tuscan Passion arahan Feroz Kader dan Riza Baharudin ini,

Shah bergandingan dengan Nabila Huda, Ungku Ismail dan Anzalna Nasir.

Ia turut dilakonkan barisan artis seperti Datuk Eizlan Yusof, Fezrul Khan dan Dian P Ramlee.

“Saya melakonkan watak Haikal yang rumit dan mencabar lakonan. Saya perlu nampak penyayang tapi dibenci penonton.

“Haikal seorang sangat prihatin dan selalu mendahulukan keluarganya tapi secara sinis.

“Ramai akan menganggap watak Haikal antagonis tetapi hanya di penghujung episod saja orang akan tahu kenapa dia bersikap negatif kepada semua orang,” katanya.

Dendam Aurora mula bersiaran pada Isnin hingga Jumaat bermula 25 Julai lalu pada jam 6 petang di Astro Prima dan Maya HD.

Selain Dendam Aurora, drama lakonannya Seharum Rindu 2 kini bersiaran di saluran TV2.

Disiarkan pada: August 5, 2017 @ 12:38am
d