utama

Ini tidak rasional

Oleh Agensi

London: Arsene Wenger melabel perpindahan Neymar dari Barcelona ke Paris Saint-Germain sebagai tidak rasional dan menganggap perjanjian paling mahal untuk membawa masuk pemain Brazil itu dapat direalisasikan apabila kelab bola sepak dimiliki oleh ‘negara’.

Qatar Sports Investments muncul pemegang saham majoriti kelab Ligue 1 itu pada 2011 dan mencuri tumpuan menerusi jumlah dana yang besar selain sering membawa masuk pemain baru dan kehadiran Neymar adalah rekod pembelian termahal dunia.

Wenger berkata, kehadiran Qatar serta dana yang mereka miliki membolehkan PSG lebih mewah berbanding kelab Eropah lain.

“Bagi saya, kekayaan pemilik kelab mengubah seluruh landskap bola sepak sejak 15 tahun lalu,” kata Wenger.

“Apabila sesebuah negara ‘memiliki’ kelab bola sepak, semuanya boleh dilakukan. Adalah sukar untuk mematuhi peraturan kewangan yang ditetapkan FIFA kerana anda mempunyai pelbagai cara untuk menarik minat pemain.

“Selain itu, kita tidak lagi berada di kedudukan di mana anda berfikir ‘jika saya melabur ke atas pemain itu, apa yang akan saya peroleh?’. Kita tidak lagi memikirkan soal berkenaan. Apa yang berlaku sekarang membabitkan maruah, minat dan bukan lagi rasional.

“Dana yang dikeluarkan untuk membeli pemain juga cepat berubah. Kita melepasi angka €100 juta tahun lalu dan hanya setahun kemudian, kita sudah melepasi €200 juta.

“Apabila anda fikir bahawa Trevor Francis muncul pemain pertama yang dibeli dengan harga £1 juta ketika beliau menyertai Nottingham Forest dari Birmingham City pada 1979 dan ia kelihatan tidak masuk akal, lihat saja sekarang. Bagaimana bola sepak sudah berkembang.

“Ia sukar untuk dijangka dan tidak lagi rasional.”

Sumber memberitahu ESPN bahawa kontrak lima tahun Neymar akan menyaksikan dia menerima gaji €30 juta (RM152 juta) setahun selepas cukai dan Wenger menganggap jumlah itu sesuatu yang tidak normal.

“Hari ini, pemain diukur daripada kemampuan kelab dan saya berani mengatakan bahawa harga seseorang pemain bergantung kepada identiti pembeli itu sendiri. Anda tidak boleh meletakkan logik di dalam pasaran pemain. Ia adalah mengenai potensi pembeli yang akan menentukan harga pemain.”

Disiarkan pada: August 5, 2017 @ 2:29am
d