utama

'Adusss...mengkal la pulak'

Oleh Icka S Hassan

KAKI durian yang hadir ke Festival Durian Kendurian 2017 di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam, hari ini, kecewa apabila sebahagian besar longgokan raja buah yang disediakan masih mengkal.

Dalam program itu, orang ramai memang jelas betumpu ke gerai durian kerana hendak makan raja buah itu dengan bayaran RM19 seorang.

Bagaimanapun, 100 pengunjung terawal agak bertuah dan berpeluang menikmati durian itu.

Pengunjung Armi Farid, 41, dari Seksyen 11, berkata dia sekeluarga datang awal kerana tidak sabar hendak makan durian tetapi kecewa apabila penganjur memberitahu buah itu mengkal.

"Penganjur kemudian memberitahu terpaksa membatalkan program itu,” katanya.

Joyce Yong, 38, berkata, dia datang dari Sarawak untuk menghadiri festival itu namun hampa apabila durian yang dinantikan tidak dapat dimakan.

"Saya beratur hampir dua jam. Tapi, apabila tiba giliran saya, penganjur tak bagi masuk. Kecewa kerana tak dapat makan durian," katanya.

Penganjur, Firdaus Abdullah, 33, berkata, dia tidak menyangka durian yang diterima dari Lenggong, Perak, pada kira-kira 4 pagi, hari ini, mengkal.

“Saya mohon maaf kepada semua kerana tidak dapat menyediakan durian seperti dijanjikan. Namun, kami masih lagi berusaha untuk mendapatkan lima tan durian untuk kaki durian.

“Kami sendiri tidak tergamak membenarkan pengunjung makan durian mengkal. Kami juga tidak mahu menipu mereka," katanya.

Menurutnya, dia menempah 15 tan durian dan hampir semuanya mengkal.

Disiarkan pada: August 5, 2017 @ 4:26pm
d